Bab 1
“Lulu Aqila Binti Zahar!.”
“Saya!”. Aku segera memanggungkan
kepala dan meletakkan sketch book
ke dalam beg yang ku bawa. Aku bersegera bangun dengan penuh rasa yakin
walaupun menyedari tempat ini merupakan pusat temuduga aku yang ke lima pada
minggu ini. Satu hari satu temuduga dan setiap temuduga itu memang cukup
‘menduga’ bagi ku. Aku membetul-betulkan
tudung yang ku pakai lantas melangkah dengan pantas dan penuh karisma ke bilik
temuduga. Tudung bawal crown kelabu dual tone bagaikan menyerlahkan wajahku
yang putih bersih. Mengenakan busana kurung dari kain kapas jepun warna
senada,aku langsung tidak menggunakan alat solek yang ‘warnafull’
dan hanya berpakaian seadanya. Bagi ku kemas dan ringkas masih mampu menyerlahkan
keanggunanku (fuh! ayat perasan yang tidak menahan).
Sebenarnya aku sedar tidak ramai
yang menghadiri sesi temuduga itu,
masing-masing yang hadir kelihatan mengenakan busana rasmi yang bergaya dengan karektor tersendiri. Aku sempat mentelaah hiasan
dalam syarikat ini. Ringkas namun tetap memancarkan auranya tersendiri. Fail
berwarna hitam segera ku kepit. Aku
sempat berbisik kepada watak Tifa
Lockhart Final fantasy di hadapan dan cloud
di bahagian belakang.
“Doakan Lulu berjaya tahu.” Aku
segera memeluk fail itu bagaikan sedang memeluk dua watak kegemaran ku ini. Pintu
bilik temuduga aku ketuk perlahan dan tiba-tiba aku dilanda debaran tatkala
mendengar arahan masuk. Aku segera membuka pintu dan automatik mataku melingas melihat ruang bilik yang agak
kosong dan luas itu. Hiasannya cukup
ringkas dengan perabot yang juga ringkas. Terdapat aquarium yang ‘melekat dan
terbenam’ di dinding pejabat itu dan aku merasai aura yang cukup kuat untuk
menyukai bilik ringkas tersebut.
“Kalau lah ini pejabat aku kan best, mau tak keluar dari bilik agaknya.
Kalau boleh di sinilah aku hendak makan tidur.” Aku bergumam sendiri tanpa
menyedari bahawa gelagat aku sedang diperhatikan oleh sepasang mata helang
bakal majikan ku. Majikan dalam pembikinan. Aku basahkan bibir yang kering
dengan lidah dan menelan air liur bagi mengumpul kekuatan.
Fail yang memuatkan resume dan sijil-sijil serta diplomaku dibelek-belek dengan wajah
cuak oleh sipenemuduga itu. Beberapa kali lelaki itu mengulang lihat kulit fail
tersebut, sambil sesekali mengelengkan kepala. Lelaki yang itu hanya mengenakan
t’shirt berkolar warna merah hati membelek-belek failnya tanpa mengeluarkan
sepatah perkataan. Aku sempat mentelaah wajah lelaki yang mungkin juga bakal bos
ku yang bertanda nama Ku Izzudin b. Ku Izhar di mejanya. Bagi ku dia seorang
lelaki yang ringkas, namun kelihatan garis ego di wajahnya. Dia tidak terikat
dengan etika pakaian rasmi, hanya mengenakan t’shirt polos, seluarnya aku tidak
sempat hendak perhatikan kerana lelaki
itu duduk. Kening lelaki itu lebat dan tersusun kemas, serta memiliki jari
runcing yang beroma halus di pangkal sendi jarinya. Kulitnya sederhana cerah, serta
memiliki kumis yang nipis serta sedikit janggut yang dirapikan, melahirkan aura
tersendiri di wajah lelaki tersebut. Tiba-tiba sahaja aku terasa bagaikan
aiskrim magnum yang sedang mencair bila melihat wajahnya.
“Dah
puas tengok saya?” satu suara tiba-tiba menyergah. Gulp! Tabrak jantung ku!
aku terasa hendak tercekik lidah sendiri terkejut.
“Lain kali nak tengok mintak izin dulu!”
aku terasa hendak tercekik lidah sendiri terkejut.
“Lain kali nak tengok mintak izin dulu!”
‘Uiksss
kena mintak izin ke?’ aku mula rasa ‘sengal’ dan kurang sihat. Perut ku terasa
mulai memulas minta dikeluarkan isinya. Penemuduga itu bagaikan sengaja menambahkan
darjah tahap malu ku dengan teguran tersebut. Mata keranjang ku selalu bikin
malu pada tuan. Pantang sangat tengok
benda cantik, mata terus tak boleh berkelip. Wajah yang kacak itukan sebahagian
dari keindahan alam semulajadi, apa salahnya kalau aku sekadar menghayatinya
dengan dua belah matanya yang juga anugerah dari ilahi. Matakan di cipta untuk
melihat, bukan untuk mencuri. Tetapi kalau untuk mencuri hati, ia boleh
dipertimbangkan. Aku tersenyum sendiri, kalaulah aku boleh mencuri hati dia kan
best.
“Awak memang suka tengok curi ye?
perempuan kalau memandang lelaki dengan pandangan macam awak ni, itu tandanya
dia bernafsu”. Sekali lagi aku terkedu. Aku
hanya mampu tertunduk lesu, ‘wallawei
belum dapat kerja dah kena bambu, cuak beb’.
Encik Penemuduga di hadapan ku ini memang bersikap biadap. Sekalipun aku memohon pekerjaan di sini, sewajarnya aku dihormati.
Terasa-rasa sahaja aku hendak menjawab kembali namun terlebih dahulu lelaki itu
bangun sambil meletakkan kembali fail dan resume
ku dengan agak kasar.
“Kenapa pandai-pandai nak ubah
nama, apa nama yang mak ayah awak bagi tak cukup sedap?”
‘Huh! mulut cam longkang’. Aku merungut perlahan sambil menguis-nguis lantai yang licin. ‘Baru ada company kecik dah ek! kutuk dalam hati, bukan dia dengar pun kan.’
‘Huh! mulut cam longkang’. Aku merungut perlahan sambil menguis-nguis lantai yang licin. ‘Baru ada company kecik dah ek! kutuk dalam hati, bukan dia dengar pun kan.’
“Nama dalam IC lain, nama pada resume lain. Pandai-pandai tambah,
kenapa nama Nurin Aqilla tak sedap ke? Tak cukup glamer? Ni boleh tukar
suka-suka jadi Lulu Aqilla apa kes?”.
“Ni nama pena tuan, nama saya atas
karya-karya saya”
“So, awak rasa perlulah nama pena
ni. Urmmm.... Lulu... Lulu...macam ulat
bulu!”.
“Tuan, ni sesi temuduga ke sesi
temulawak?”
“Saya ada macam buat lawak ke?”
“Adalah juga, tapi lawak tak cerdik kot”
“Di mana tak cerdiknya?”
“Ye lah, terpulanglah saya nak
letak nama Lulu ke... Lawa ke... Latipah ke, itu kan hak saya”.
Lelaki itu nampak tersentak, namun
kemudiannya tersenyum. Tiba-tiba sahaja aku rasa ada busur menerjah jantung. Toinkkkkk! tepat mengenai sasaran!. Aku
terasa bagaikan hendak terkoyak limpa melihat panahan senyuman itu sehingga aku
tidak sanggup memandang tepat seperti tadi. Aku menelan air liur dengan rasa
perit, bala apakah yang berlaku sehingga aku tidak mampu membalas kata-katanya.
Sebelum ini aku memang lepas laku jika ada sesiapa yang cuba bersikap biadap
dengan ku. Tapi kali ini aku terasa ‘malas’ hendak melawan. Aku hanya berdiam
dan mengutuk dia dalam hati semahu-mahunya,’cis! Perasan sungguh mamat ni.
Jagalah kalau kau jatuh cinta dengan aku, aku lastik hidung kau dengan getah
belacan. Aku tersenyum sendiri walaupun aku rasa senyum ku tidak cukup manis.
Senyum senget bila kena sindir.
Tiba-tiba aku rasa penemuduga itu hanya ingin
menguji ku, sekadar hendak menduga dalamnya laut dan tohornya pantai , tapi
kalau dia sengal, Aku lagi sengal dengan darjah sengal yang cukup tinggi. Dia
belum kenal siapa Lulu Aqila Zahar. Aku buat-buat berani dan kenyit mata
kepadanya, menyembunyikan resah yang berbara. Sebenarnya aku bukan hendak
menggoda, sumpah tiada langsung niat itu sebaliknya cuma hendak menguji minda penemuduga
yang perasan kacak ni. Kebal sangat ke hendak berdepan dengan Lulu?.
“Awak
kutuk saya ye?” Haila, aku kenyit mata pun dia boleh tahu aku kutuk dia.
“Macam
mana tuan tahu saya kutuk?”
“Tengok
cara awak pun saya tahu. Hati awak penuh dengan rasa cuak, macam ni awak nak
kerja di syarikat saya? pekerja saya
harus selalu puji saya! faham!”.
“Faham
tuan!” Aku angguk kepala walaupun ketika ini aku rasa macam hendak muntah hijau.
Oh baldi! Dimanakah dikau?
‘Allamakkkk’siot’lah mamat
ni, nak kena puji ke?’ Aku jadi cuak, cuak kerana bahagian puji memuji dan
kipas mengipas ni aku memang gagal. Tetapi kalau masuk ‘department’ kutuk sampai
tahap boleh menjahanamkan pundi hempedu, memang aku hebat. Bukan kutuk
sebenarnya, tetapi ‘kritikan membina’.
“Awak
rasa awak layak bekerja di syarikat
saya?”
“Kenapa saya tak layak?”... soalan
dijawab dengan soalan.
“Seorang
akauntan tetapi memilih kerja interior designer? apa awak ingat nak
cari glamer dengan kerja ni? jumpa
orang kaya, jumpa anak dato... layan
datin-datin... jumpa CEO company besar?
Huh! kalau itu matlamat awak, awak silap
memilih syarikat saya”
Lelaki bercakap sambil menyeluk
saku. Aku sempat menilai, lelaki yang menyeluk saku sambil bercakap sebenarnya
cuba menyembunyikan sifat gemuruh dan kurang keyakinan diri. Tiba-tiba aku
bangun dan tersenyum sinis. Malas aku hendak
melayan lelaki ego macam ni. Kalau harap rupa sahaja yang boleh mencairkan, itu
dunia belaka. Aku tidak cair dan tidak pernah akan cair. Kalau cair jugak anggap
sahaja itu takdir. Aku mengambil failku semula. Tanpa permisi aku meninggalkan
lelaki angkuh itu
“Terima
kasih Mr Arrogant”.
Aku segera berlalu keluar. Namun sekilas
aku dapat melihat wajahnya berubah mendadak atas tindakan spontan ku. Namun jauh
di sudut hati seakan ada sesuatu yang cuba aku tahan , aku terasa bagaikan dihambat
kehampaan, bagai ada bisikan getaran di hatiku sehingga aku berasa ralat atas sikap
ku sendiri. Kenapa aku agak biadap dan lepas laku kepada bakal majikanku?. Apa
salahnya sekiranya aku cuba berlembut sedikit moga diberikan pekerjaan tersebut
kerana aku benar-benar memerlukannya. Masuk ini sudah lima syarikat aku jejaki
untuk sesi temuduga. Rezeki ku cukup berat, mungkin juga kerana aku silap
memilih pekerjaan. Sebenarnya tidak berminat untuk bekerja sebagai akauntan
atau terlibat dengan bidang pengurusan. Aku lebih suka bebas dan mampu
menyalurkan idea-idea ku dalam bidang seni. Seni lukis, seni reka, seni hiasan
dalaman..semua pun aku suka asalkan seni. Sesekali aku sempat terfikir, akukah
yang terlalu ego tentang harga diri atau atau terlalu tegas dalam pendirian dan
enggan diperkotak katikkan. Bagi ku kedua-duanya nampak sama tapi tidak serupa.
Antara ego dan tegas, garisannya terlalu halus untuk dinilai.
Aku menonong menuju ke kereta, Viva
berwarna kuning itu segera ku hidupkan enjin. Aku memasang aircond pada tahap maksimum, panas hati berhadapan dengan bakal
majikan sombong. Gear undur segera
ditarik ku tarik, pedal kereta manual itu aku tekan rapat serentak dengan handbreak. Lagak pelumba drift, kereta rugged yang dihias pelbagai stiker bagai kereta mainan itu
berpusing dengan laju pada putaran 360 degree,
bunyi decit jelas kedengaran, enjin turbo segera menunjukkan taring. Kombinasi
udara dan minyak dalam kaburator berpadu secara seimbang dan serentak dengan itu aku tekan pedal
rapat ke lantai sehingga kedengaran bunyi letupan kuat keluar dari ekzos kenderaan. Aku segera memecut tanpa ampun. Lantaklah,
malas aku hendak berat kepala memikirkan pekerjaan yang belum tentu menjadi milik
aku.
Izzudin
memerhatikan dari kaca tingkap cermin gelap, gulp... gulp... gulp air liur ditelan berkali-kali. Satu dengusan
keras dilepaskan “Pherghhhhhh” dia
kagum pada skala 8/10, superwoman
mana pulak ni?. Dia mencapai resume
yang ditinggalkan di atas mejanya, mentelaah kelayakan gadis yang ditemuduga
sebentar tadi. Sebenarnya sejak menerima surat permohonan gadis itu tempohari
dia telah memilih dan membuat keputusan calon bakal pekerjanya, temuduga
sekadar satu syarat. Syarat untuk bertemu dan menduga sejauh mana gadis itu
mampu bertahan dengannya. Bekerja dengan Izzudin harus tahan dari aspek mental
dan fizikal. Bukan sebab gadis itu cantik, tapi dia cukup kagum melihat
lampiran artwork gadis itu.
Kreativiti yang cukup tinggi dapat dilihat dalam hasil karyanya, halus dan
detail. Ia tidak dibuat secara sewenang-wenangnya dan hasil tersebut menerapkan
elemen timur dan barat serta ada sentuhan tradisional yang cukup indah. Izzudin
pasti gadis ini melakukan research
sebelum membuat lukisan ini.
Sukar menerbitkan rasa kagum dalam diri
Izzudin, namun kali ini dia rasa ingin tabik spring 18 kali. Hasil kerja yang cukup halus dan terperinci. Kalau
ditolak bermakna Izzudin sengaja menutup pintu rezekinya pada masa akan datang,
sekaligus menutup juga peluang mengenali gadis yang cukup ‘telus’ dengan
karektor kerek kipas tidak berangin itu.
“Hidayah
masuk kejap!” Izzudin menekan interkom di meja. Tidak lama kemudian seorang
wanita muda berbaju kurung hijau pucuk pisang muncul sambil tersenyum. Lipstik yang dioles sekadar cukup itu
nampak semulajadi, wanita ini memang tidak perlu solekan tebal untuk nampak
cantik kerana dia sememangnya cantik.
“Ada
apa encik, nak teh, kopi atau air sirap?” dia senyum sehingga lesung pipitnya
jelas lekuk ke dalam.
“Banyak
awak punya sirap hahaa” Izzudin ketawa.
“Jom
minum, aku laparlah dah lama tak makan nasik lemak ni” Izzudin mengajak gadis itu menemaninya
bersarapan.
“Biar
betul, dah jam berapa ni orang semua dah
nak pi lunch” Hidayah melihat jam di tangan.
“Aku
tak sarapan lagi ni jomlah” Izzudin
mengenyitkan mata sambil tersenyum penuh harap. Dia mengurut-ngurut perut
sambil mengeliat.
“Izzue
ni memanglah, dari dulu suka macam ni...” Hidayah turut ketawa, mereka
sama-sama meninggalkan bilik pejabat dan berjalan melalui siar kaki untuk ke
cafeteria kecil di syarikat tersebut. Ruang VIP yang memang tersedia untuk kakitangan bahagian pengurusan atasan
dimasuki. Bilik berhawa dingin itu tidak menghalang Izzudin menyalakan Dunhillnya, Hidayah cuak dengan sikap
itu. Izzudin memang perokok tegar, namun menegur dia bagai mencurah air di daun
keladi.
“Buatkan
surat tawaran untuk budak ni” Izzudin menyerahkan satu resume kepada Hidayah. Jarinya menyepit rokok, asapnya
berlegar-legar bila dihembuskan. Hidayah terkebil-kebil mengelak asap sedangkan
Izzudin sesuka hati menghembuskannya. Hidayah menyepit hidungnya dengan ibu
jari dan telunjuk. Tangan yang sebelah lagi mencapai resume tersebut sambil menepis-nepis asap rokok.
“Alah
bukan tak biasa pun” Izzudin ketawa melihat wajah Hidayah memerah, dia suka
melihat wajah itu bila bengang, lebih semulajadi. Hidayah melihat lama resume tersebut, matanya tiba-tiba
tertancap pada wajah pemilik resume. Dia bagaikan mengingati sesuatu,
namun kabur seakan ada sesuatu yang hilang. Dia terdiam dan menatap lama gambar
tersebut.
“Kenapa
ni” Izzudin menyedari ada sesuatu yang tidak kena.
“Entah
la, rasa macam biasa tengok lah pic ni tapi tak tau kat mana” Hidayah gagal mengimbau memori.
“Cantikkan?”
Hidayah menyambung lagi masih menatap foto itu.
“Cantik
tu subjektif... aku rasa awak pun cantik” Izzudin ketawa melihat wajah Hidayah
yang tiba-tiba berona tersipu.
“Awak
ni kalau dipuji... kembang lapan mangkuk” Izzudin memancung senyum Hidayah.
“Nasiblah
saya dah lama dengan awak, kalau tak mau jugak saya sepak sampai makan gigi “
Hidayah pula ketawa pulas, tahu sangat dia loyar buruk Izzudin. Izzudin memang sengal, tapi sengal Izzudin
tetap memelihara adapnya sebagai kawan Hidayah. Mereka sama-sama membina
syarikat itu. Hidayah lebih menjaga bahagian pengurusan kewangan sedangkan
peranan Izzudin lebih menyeluruh. Kepercayaan, itu yang tidak mampu diberikan
kepada mana-mana lelaki kecuali Izzudin. Hidayah mengenali Izzudin sejak mereka
di zaman persekolahan lagi.