Thursday, January 16, 2014

Bodyguard From Taiping - Bab 8



Bab 8






            “Saya nak pindah.” Aku bersuara tenang pagi itu. Akim nampak sudah cukup sihat. Malam tadi aku jaga dia sampai ke subuh, sampai aku tertidur duduk di tepi dinding. Tahu-tahu bila tersedar aku sudah elok terbaring atas lantai berbantal dan berselimut. Dia juga baring atas lantai dan nampak tidur dengan lena setelah makan bersuap. Kasihan katil, tiada siapa yang sudi tidur di atasnya.
            “Pindah?” Akim nampak terkejut dengan kata-kata ku.
            “Yelah pindah  awak lelaki, saya perempuan… kalau kena tangkap basah kan susah.”
            “Takkan kena tangkap basahnya, saya jamin.” Dia menjawab yakin.
            “Hal nak jadi, mana kita tahu. Awak pun tahu soal halal dan haram, kita bukan mahram. Semalam saya dah cari rumah, dekat dengan rumah Airiel dan tuan rumah dah setuju hendak bagi sewa yang agak murah.” Akim nampak terdiam dan enggan bercakap tentang itu. Aku lihat dia termenung sahaja sampailah tiba ke pejabatnya.



Tengahari itu aku meminta kebenaran Akim untuk keluar membayar wang pendahuluan sewa rumah. Aku minta gaji awal  sebagai pendahuluan untuk memulakan hidup di bandar. Akim kelihatan teragak-agak memberikan aku duit sebanyak RM1000.00. Kedekut juga dia ni, walaupun dia bagi tetapi aku nampak mukanya ‘ketat’ melepaskan aku dan Airiel keluar.



Aku mengambil masa yang sekejap sahaja mengemaskan rumah yang sememangnya sudah kemas itu. Perabotnya juga agak lengkap dengan dapur masak sekali. Aku juga membeli sedikit barang dapur untuk keperluan beberapa hari. Semuanya dengan bantuan Airiel dan dia ini memang ringan tulang. Selain dari wajahnya yang sweet dia juga seorang yang mudah bertolak ansur dalam banyak perkara. Paling penting Airiel juga tidak kedekut, abah kata kalau seseorang itu tidak kedekut dan berkira terutamanya soal makan dan minum itu tandanya kawan yang baik.



Akim hanya diam sahaja sepanjang aku menghantarnya pulang. Dia bagaikan termenung dan memikirkan banyak perkara.
            “Kalau dah pindah ni boleh ka cheq bawak gheta Akim balik sana. Senang cheq nak mai ambik Akim nanti.” Akim diam sejenak dan aku nampak dia sedang memerhatikan aku melalui cermin pandang belakang. Serba salah aku bila di tenung begitu.
            “Saya ni selalu sakit, kalau tiada sesiapa di rumah susah jugalah saya nak minta tolong.” Akim bersuara mendatar, entah kenapa aku rasa kasihan pula mendengar suaranya itu.
            “Tak pa, Akim pukoi talipon ja, tat sat berdesup cheq mai tolong.” Wah! Bila sahaja aku gementar habis keluar loghat Taiping ku. Tetapi kenapa pula aku gementar ya?.
            “Itupun kalau saya sempat call, kalau tak sempat nak buat macam manakan?” Akim bersuara sayu dan entah kenapa aku memang rasa cukup sayu dan layu.
            Awat cakap lagu tu, Akim menikahlah lain… senang ada orang rumah tulong. Sakit pening senang oghang jaga.”
            “Saya dah kahwin.” Dia menjawab perlahan namun cukup kuat untuk sampai ke telinga ku. Dan tiba-tiba aku brek mengejut sebab aku memang terkejut. Bum! Porsche dihentam dari belakang. Akim terdorong ke hadapan lalu terhantuk ke kerusi hadapan. Buat lagi! Sapa suruh tidak pakai seat bealt. Bunyi hon bertalu-talu dan tiba-tiba seorang pemuda berlagak samseng terus datang ke kereta ku dan mengetuk-ngetuk cermin tingkap. Jalan mulai sesak dengan orang yang cuba mengelak kereta kami. Aku nampak hidung Akim berdarah semula, mungkin kesan benturan di pintu semalam masih belum pulih.


            “Kalau pompuan bawak kereta macam nilah, macam pondan!”  Lelaki itu memarahi ku.
            “Maaf encik, saya terkejut tadi.” Aku jeling kereta Personanya, bumpernya pecah sedikit dan spotlightnya juga pecah. Aku pusing ke belakang tengok Porsche Akim, nampak elok sahaja, wah keras juga body kereta ini. Aku tersenyum lantas mengeluarkan RM300 lantas aku berikan kepada mamat tu.
            Hei pompuan, mana cukup banyak ni, kurang-kurang tujuh lapan ratus nak repair semua ni.”
            “Cukuplah ni, kalau nak banyak hang pi pecahkan lagi cermin gheta lepas tu claim insuran. Tu pun aku nak ajaq ka
            “Oh budak penang ye, kau ingat kau duduk penang aku takut. Bagi aku ganti rugi atau aku report polis.”
            “Wei hang ingat aku ketaq dengan polis ka, ni orang Taiping tau. Tak cukup ilmu di dada aku tak berani lari dari rumah. Hang pi lar report, mai tang ni hang nak tengok nenek hang ni punya report pulak. Hang dok ‘cucuk’ rapat-rapat apa kes! Jarak selamat dua bijik gheta ada faham ka. Hang rapat memanglah tak sempat brek!” Wah aku bagi syarahan undang-undang jalan raya kepadanya. Dia nampak terkejut sedangkan Akim aku lihat tenang sahaja di dalam kereta dengan gajetnya.
            “Ni Porsche bos aku ni sapa nak bayaq, ni calaq ni hang sanggup ka ganti. Mai la ganti kalau sanggup.” Aku terus mencabar, mungkin dia malas hendak melayani aku lalu terus menghidupkan kembali enjin keretanya serta berlalu pergi. Melayang duit pendahuluan gaji aku RM300. Masuk kembali ke kereta aku nampak Akim tersenyum. Melihat senyuman dia aku lega walaupun aku tetap bimbang dengan hidungnya yang berdarah.




            “Lain kali jangan buat macam tu lagi.” Akim menegur ku. Aku angguk kepala walaupun sebenarnya aku terganggu dengan apa yang aku dengar sebentar tadi. Aku nampak Akim menghela nafas panjang dan aku juga melakukan perkara yang sama.



Aku kembali meneruskan perbualan dengan Akim mengenai isterinya.
            “Kalau dah menikah, kenapa tak duduk sekali dengan isteri. Ke isteri Akim dok jauh?” Aku kembali bertanya sebab hati ku memang inginkan kepastian tentang status dia.
            “Isteri saya tak sudi kahwin dengan saya, dia lari pada malam selepas perkahwinan kami.” Burrr berderau darah ku naik ke muka, aku telah air liur bertalu-talu. Terasa macam kena sindir sahaja, tetapi memang kebetulanlah sangat sebab aku pun lari juga.
            Pi la try pujuk, mana nak tau hati dia lembut. Jodoh ni urusan Allah, kalau dah ketentuanNya reda je lah.” Aku bersuara perlahan meskipun aku rasa ayat-ayat aku tu tidak lebih untuk diri ku sendiri dan betul-betul kena di batang hidung ku. Entah kenapa aku bagaikan diserbu rasa sebak.



            “Silap saya sebab tak terus terang dengan dia tentang hati saya. Sekurang-kurangnya kalau saya mencuba untuk bagi tahu dia saya cintakan dia tak terkejut dan jadi macam ni.” Akim mula bercerita dan aku ingin menjadi pendengar yang baik.
            “Maksudnya wife Akim tak tahulah Akim ni suami dia?” Akim angguk kepala mengiyakan kata-kata ku. Aku rasa cerita kami ini bagaikan ada persamaan, cuma dalam kes aku, aku dapat suami tua. Dan aku kenal suami aku tu bila aku tersedar dari pengsan tempohari.
            “Saya yang salah, saya kenal dia tapi dia yang tak kenal saya. Saya suka dia sejak dia sekolah form three lagi. Masa tu dia pelari pecut sekolah, wakil negeri ke SUKMA. Saya kawan dengan abang dia yang nombor dua. Kebetulan syarikat saya salah satu penaja sukan tersebut, dia ceria dan sentiasa tersenyum dan suka ketawa. Paling saya suka  sebab dia penyayang, dengan kucing pun dia berbelas kasihan. Saya perhatikan dia dari jauh dan selalu ikut perkembangan dia melalui abangnya. Saya simpan beberapa gambar dia sejak dia sekolah lagi sampailah sekarang. Saya tengok kalau saya rindu. Tapi saya tak berani dekat, sebab dia ni memang kurang gemar bersosial mahupun berlebih-lebih dengan lelaki, lagipun abang dia garang.” Akim terus ketawa menyudahkan cerita. Aku pula rasa nafas ku sempit tiba-tiba dan berduyun-duyun rasa cemburu menerpa ke dada ku.  Betulkah aku cemburu, ini Rock lah… Rock mana boleh cemburu!. Namun aku sempat juga berfikir kalaulah aku yang jadi perempuan tu, alangkah indahnya. Wah! Awas Rock awas! Kau kena pindah segera atau kau akan jatuh cinta sehingga senak menahan rasa.



            “Maksudnya Akim curanglah kepada ibu Mikhaeyll kalau dah suka kat  pompuan tu.” Tiba-tiba sahaja aku membuat tuduhan. Aku nampak Akim tersentak dengan tuduhan ku.
            “Mikha bukan anak kandung saya.”  Perlahan sekali Akim menuturkannya. Aku enggan bertanya lebih lanjut, kerana tidak mahu Akim membuka aib bekas isterinya dan Akim juga nampak keberatan untuk bercerita lebih lanjut tentang Lynn. Sekarang aku tahu dia duda tanpa anak namun sejauh mana ‘kedudaan’nya aku tidak sanggup hendak bertanya. Hello Rock! Buaya mana menolak bangkai! Tetapi agak-agaknya Akim ni masuk kategori buayakah?.



Sebaik sahaja sampai di rumah aku terus mengemaskan pakaian untuk ke rumah sewa ku. Aku nampak Akim macam berat hati, aku juga rasa berat hati namun aku terpaksa kerana aku tidak sanggup menanggung dosa bersekedudukan dengannya walaupun rumah dia besar.
            “Nah.” Akim berikan aku wang RM500.00 tetapi aku menolak dengan baik kerana aku masih belum memerlukannya.
            “Ambillah, saya bagi. Mana tahu kalau awak perlu nanti.” Aku sambut dengan hati yang berbelah bagi, hairan pula aku di pejabat tadi nampak macam kedekut sahaja, tapi kali ini pemurah pula. Akim bagi aku pinjam handphone dia, haila kalau dia bagi handphone dia nanti dia hendak guna apa. Berlebih-lebih pula cara dia menolong aku.
            “Kalau saya ambik telefon Akim, nanti Akim nak guna apa.?”
            “Malam ni je, esok pagi pulanglah, dalam tu ada nombor tablet saya, call saya kalau ada apa-apa yang tak kena.”
            “Erk, sampai nanti call ye, kalau ada apa-apa jangan lupa call.” Akim pesan lagi, dia dah jadi macam abah pula suka pesan macam-macam kalau aku hendak keluar. Aku angguk kepala,tapi entah kenapa aku rasa macam berat hati pula, tambahan kalau teringat dia sakit semalam.
            “Tak pe, rumah Airiel sebelah je. Apa-apa hal dia ada.” Aku jawab selamba bagi melegakan hati dia. Tapi aku nampak Akim macam tersentak bila aku sebut nama Airiel.



Aku tergolek-golek baring di ruang tamu dengan beralaskan toto sahaja. Aku malas hendak tidur di bilik sebab sunyi sangat. Puas memujuk mata, namun aku masih tidak mahu tidur sedangkan jam sudah menunjukkan puku 12 malam. Sesekali meremang juga bila teringatkan kata-kata Airiel tentang rumah ini yang ‘keras’.  Aku belek-belek telefon Akim, wall paper gambar dia tersenyum menghiasi skrin telefon yang bersaiz buku nota itu. Entah kenapa aku rasa gambar itu macam sedang tersenyum kepada ku. Akim memang kacak dan aku paling suka dengan hidung dan bibir bawahnya yang nampak lekuk sedikit ke dalam macam bibir Yutaka Takenochi hero jepun kegemaran ku. Sejak bila pula aku pandai tengok lelaki hensem ni?, sebelum ni aku rasa orang yang paling hensem ialah abah dan yang kedua abang ngah, lepas tu baru along. Aku tatap wajah Akim sepuas-puasnya sampai aku rasa sesak nafas tiba-tiba dengan rasa sebak yang menderu bagai prahara dari lautan. Setitis… dua titis air mata tiba-tiba panas jatuh di pipi, aku sendiri hairan kenapa aku menangis. Tapi mungkin juga aku kecewa bila tahu Akim suami orang dan aku merupakan gangguan kalau berada di antara dia dengan isterinya. Tapi wajarkah aku kecewa, kerana aku juga isteri orang?.


Tiba-tiba telefon vibrate dan mengalunkan lagu Aisheteru versi jepun. Wah! Macam kebetulan sangat lagu ini memang lagu kegemaran ku. Aku tidak  menjawab sebab aku bimbang yang menelifon itu ialah kawan Akim. Aku biarkan ia berbunyi beberapa kali dan akhirnya diam. Biarlah, esok nanti mesti Akim check miscall dan akan buat panggilan semula kalau penting. Aku tidak tahu jam berapa aku tertidur, apa yang pasti aku tidur sambil memegang telefon yang ada gambar Akim.



Akim telah tercegat menunggu di luar bila aku datang menjemputnya ke tempat kerja. Seperti biasa, dia tenang dan tidak banyak cakap.
            “Nanti buatkan saya air macam semalam ye, donut tu jugak. Awak beli di mana, sedap.” Dia memulakan perbualan. Aku hanya angguk kepala yang masih terasa agak pening kerana tidur lewat. Sebaik sahaja sampai di pejabat, aku terus buatkan dia air walaupun aku tahu PAnya pasti telah siap-siap membuatkan air.
            “Nah telefon awak, malam tadi ada banyak kali miscall, saya tak jawab sebab mungkin kawan-kawan awak.” Akim menyambut telefon itu sambil mengangkat keningnya yang lebat. Aku segera beredar kerana enggan terus menahan pesona wajahnya.



            “Rock tunggu” Aku segera menoleh.
            “Eh macam mana banyak air liur basi kat sini ni, awak tidur tengok gambar saya ke?” Akim tunjuk telefon kepada ku. Aku panik yang teramat panik, habislah aku kalau dia tahu malam tadi memang aku tidur sambil pegang gambar dia pada handphone.
            “Eh! mana takkan sampai kena air liur basi kot! Mana-mana bak sini saya cuci balik.”
            “Maksudnya betullah awak menatap gambar saya sampai tertidur malam tadi?”
            “Eh taklah… mana ada awak ni main serkap jarang pulak.” Aku mula terasa muka ku memijar panas kerana malu.
            “Habis air liur ni.”
            Erk kena ke? Eh saya tak sengaja sebab henfon terhempap pipi saya kot.” Aku menjawab lurus… pembaris pun tidak selurus jawapan aku.” Tiba-tiba Akim tersengih sampai nampak semua gigi depannya. Dan tiba-tiba aku rasa baru aku tersedar dia sedang menduga aku atau sengaja mengenakan aku. Aku rasa bagaikan ingin jadi halimunan dengan cincin Lord of The Ring masa itu juga. Malu yang teramat sangat sebab tanpa sengaja aku mengakui memang aku menatap gambar dia dan tidur dengan gambar dia. Rock! Rock kenapalah kau bodoh sangat!.
            “Lain kali kalau rindu jawablah call saya, jangan gigit handphone.” Akim berkata selamba lantas terus minum dengan penuh nikmat. Aku terus keluar dan terasa muka kebas menahan malu.



           

Saturday, January 4, 2014

Bodyguard From Taiping -Bab 7



Bab 7





Mikha budak baik, aku yang tidak begitu suka kepada budak-budak selama ini pun boleh suka kepada dia. Petang itu kami sama menghantar Mikha kepada ibunya. Aku lihat Akim macam berat hendak bagi Mikha kepada ibunya, malah Mikha sendiri berat hati untuk berpisah dari kami. Bertalu-talu dia cium pipi aku sampai bibir aku pun dia kucup jugak. Aku tenguk Akim telah air liur bila Mikha cium bibir aku, mukanya merah tiba-tiba. Takkan dia malu kot melihat aku selamba sahaja dikucup begitu. Anak abang long pun memang suka begini, Shamira anak saudara ku pasti akan mengucup aku sekiranya dia ingin pulang. Tetapi tidaklah sampai macam Mikha yang beriya-iya sampaikan Akim jeling dan angkat kening kepada ku. Aku tarik nafas panjang sebaik sahaja Mikha masuk ke dalam rumah.



            “Terima kasih.” Tiba-tiba Akim bersuara dalam perjalanan kami balik ke rumah.
            “Kenapa pulak?”
            “Tolong jaga Mikha dan terima Mikha.”
            “Hal kecik je tu, cuma saya tak suka dia panggil saya mama. Rasa macam tua sangat.” Aku menjawab jujur.
            “Maaf sebab susahkan Aulia.”
            “Rock ok… Rock, panggil saya Rock.” Aku tidak suka sesiapapun panggil aku Aulia.
            “Maaf sebab saya dan Mikha susahkan Rock.” Dia menjawab tenang dengan suara yang mendatar. Entah kenapa tiba-tiba aku rasa bersalah pula, bukankah Mikha anaknya kenapa aku boleh terang-terang kata tidak senang pada anak dia. Mestilah dia kecil hati. Aku diam sahaja dan dia meneruskan pemanduan dengan tenang. Aku ingin sekali bertanya kenapa dia berpisah, tapi aku tahu itu bukan urusan aku. Maklumlah aku ni hanya bodyguard from Taiping.



 Akim langsung tidak bercakap hinggalah kami sampai di rumah. Aku pula malas hendak memancing perbualannya lalu terus masuk tidur. Penat bercampur tidak cukup tidur membuatkan aku terus lena sampai langsung tidak sedarkan diri.



Aku pandu kereta dengan kelajuan sederhana, lagipun jalan agak sibuk. Menghantar Akim ke tempat kerja bukan susah pun, yang susahnya hendak menunggu dia habis kerja. Aku tidak tahu hendak buat apa, tambahan lagi Akim tidak mengarahkan aku melakukan kerja-kerja lain selain jadi bodyguard dia. Dari semalam Akim tidak banyak cakap sampaikan terfikir juga aku, takkan dia sentap sangat bila aku kata tidak suka Mikha panggil aku mama. Betullah sebab umur aku baru sahaja sembilan belas tahun, hujung tahun nanti baru masuk dua puluh tahun. Mikha sudah empat tahun, jadi takkanlah aku jadi mama Mikha masa aku masih di tingkatan 3. Macam mana kalau orang dengar Mikha panggil aku mama.


            “Awak duduk dalam office saya dulu, nanti saya minta orang sediakan tempat awak.” Akim mengarahkan aku sebaik sahaja kami memasuki bangunan pejabat dia. Tahupun bercakap, aku ingat dia sudah bisu.
            “Baik bos.” Dia jeling aku, aku juga jeling dia tetapi dia tidak nampak kerana terselindung di sebalik topi besbol ku. Kami masuk ke lif dan dalam lif ada ramai orang. Terdapat seorang lelaki yang dengan sengaja menghimpit aku sehingga aku terpaksa menjauhkan diri ke belakang. Akim tarik lengan ku lalu merapatkan dirinya kepada ku sehingga lengan kami bersentuhan. Aku tidak sempat hendak vibrate kerana rasa marah kepada lelaki yang sengaja mengambil kesempatan tadi.



Masuk ke office masing-masing memberikan ucap selamat kepada Akim, aku pula yang tersengih-sengih bagaikan model memperagakan pakaian.
            Hai Rock Assalamualaikum.” Dalam kalangan semua staf memberi salam kepada Akim, tetapi Airiel memberi salam kepada ku. Wah! kembang lubang hidung ku di sapa sebegitu. Aku membalasnya sambil memberikan isyarat peace. Dia kenyit mata kepada ku, wah! baru aku perasan dia ada lesung pipit yang sangat ‘manis’. Sebaik sahaja meletakkan briefcase Akim, aku terus keluar mencari Airiel. Rupanya Airiel memang sedang setia menunggu ku dengan kopinya yang tidak sedap tu. Mahu tidak mahu aku minum juga kerana menghormatinya.




Aku tolong Airiel buat kerja, tolong tampal setem pada surat, tolong dia membuat salinan foto dan tolong dia menyusun fail-fail yang banyak di rak fail. Aku tahu banyak mata yang memandang keceriaan aku menolong Airiel. Sampai pukul 10 pagi Airiel ajak aku minum di luar. Aku ikut Airiel tetapi  dia tumpang kereta Akim yang aku pandu. Sebaik sahaja aku pakirkan kereta di sebuah warung, aku sedar banyak mata yang memandang ke arah kami. Maklumlah aku bawa kereta mewah.
            “Kau duduk mana Rock?”
            “Duduk dengan datolah.”
            “Kau satu rumah dengan dia? Eh itu kira sudah bersekedudukan tu. Kalau kena tangkap khalwat malu woo.” Aku tersentak, kenapa aku tidak terfikir tentang hal ini.
            “Aku pun memang nak cari rumah lain ni, kau ada tahu rumah kosong ke yang murah-murah sikit ikut kemampuan aku.” Airiel terdiam sebentar sebelum menghela nafas panjang.
            “Rumah memang ada Rock, tapi kalau dekat-dekat sini mahal. Itu pun apartmen. Kat sebelah rumah aku tu pun kosong juga, dah lama kosong cuma aku dengar tempat tu macam keras sikit.” Bila dengar keras macamlah aku takut, aku tak kisahpun pasal keras ke lembut, janji aku dapat tidur dan berlindung dari hujan dan panas. Airiel terus membawa aku berjumpa tuan rumah tersebut dan aku bersetuju dengan sewa yang ditawarkannya.



Wah! Baru aku sedar Akim belum makan apa-apa dari pagi tadi. Aku bungkuskan dia donut, air nanti aku yang bancuhkan. Sebaik sahaja pulang ke pejabat, Akim telah pun masuk ke bilik mesyuarat. Aku tunggu hampir dua jam, akhirnya dia keluar setelah jam menunjukkan pukul satu tengahari. Dia nampak letih dan agak stress. Aku malas hendak ganggu lalu segera keluar dari bilik dia dan tolong Airiel buat kerja. Airiel memang baik, aku senang dengannya. Setelah jam menunjukkan pukul 3 petang aku segera ke pantry dengan Airiel untuk minum-minum setelah keletihan membantu dia menyusun dokumen telah yang telah selesai dibuat salinan foto.



Tiba-tiba aku terpempan bila melihat Akim sedang minum bersendirian di pantry.
            “Eh dato, maaf saya tak perasan dato ada di sini.” Airiel terus menyapa Akim. Akim jeling ke arah ku.
            “Selamat petang dato, erkk maaf saya pun tak perasan dato ada di sini. Kalau saya tahu dato nak minum saya boleh tolong buatkan.” Tiba-tiba Nelly nampak teruja sangat ketika bercakap dengan Akim. Akim anggukkan kepala.
            “Tak mengapalah, saya kejap je ni. Kamu jangan susah-susah.” Dia segera berlalu keluar. Sebaik sahaja Akim keluar aku tengok Nelly bertambah-tambah gediknya, dia benar-benar angau kepada Akim.
            “Oh my gosh… dato datang masuk pantry, dato cakap dengan aku. Hensemnya dia…oh.” Nelly memejamkan matanya benar-benar membayangkan wajah Akim.
            “Eh selama ni dia tak pernah masuk pantry ke?” Aku tanya Airiel dan Airiel hanya mengelengkan kepala. Aku tarik nafas panjang.
           


Aku ambil cawan Akim minum yang ditinggalkan tadi, rupanya dia hanya minum air kosong sahaja. Aku hela nafas panjang lalu membancuhkan satu mug air mocha dan membawakan donut ke biliknya. Akim panggungkan kepala lalu aku terus datang dekat dia. Aku nampak tangannya macam menggigil menulis sesuatu di atas kertas. Bukan macam menggigil tetapi memang Akim menggigil.
            “Kim!” dia pandang muka aku.
            “Awak ni kenapa?” Dia gelengkan kepala dan aku nampak dahinya berkerut. Lain macam pula muka mamat ni.
            Hang ok dak ni.” Aku mula keluar sawan kalut ku. Dia anggukkan kepala, namun tiba-tiba sahaja dia terus menuju ke bilik air. Aku ikut dia walaupun nampak macam tidak logik. Dia tidak mengunci pintu lalu aku tolak perlahan-lahan dan aku tengok dia sedang terbongkok-bongkok muntah angin dan air. Kasihan pula aku lantas aku urut belakang badannya. Muka Akim jadi merah ketika muntah, selepas habis muntah aku tolong pula mengelapkan mulutnya dengan sapu tangan. Huh! aku berkira-kira hendak buangkah sapu tangan aku ini. Kembang tekak aku bila teringatkan ia bekas muntah Akim. Tetapi macam biasa, perbuatan aku selalu tidak seiring dengan fikiran, sapu tangan kembali aku masukkan ke dalam poket seluar.



            “Terima kasih.” Dia bercakap dengan suara yang perlahan dan kedengaran agak menggigil. Aku angguk kepala, dia minum perlahan-lahan air yang aku bancuh dan tidak lama kemudian dia muntah lagi. Aku sudah hilang idea hendak menolongnya. Habis semua yang dia minum keluar semula tanpa sempat dia ke singki, baru melalui pintu bilik air di situ juga dia melambakkan muntahnya.
            “Kita baliklah.” Aku bagi cadangan dan dia angguk kepala. Aku tanya juga jika dia hendak pergi ke klinik tetapi dia menolak dan hanya ingin berehat di rumah.



Akim hanya memejamkan mata sepanjang kami pulang ke rumah. Aku tahu dia mesti pening kerana tadi dia muntah-muntah. Aku bawakan begnya dan dia terus menuju ke bilik tidurnya. Aku tidak ikut Akim sampai ke bilik tidur, sebaliknya aku segera membersihkan diri lalu solat. Selepas solat aku tertidur sehinggalah tersedar waktu telah hampir masuk waktu maghrib. Usai solat maghrib aku lihat Akim masih belum keluar dari biliknya. Aku terus ke dapur dan masak apa yang patut. Aku masak sebab aku memang sedang kelaparan. Ketika hendak makan , aku tidak sampai hati kerana teringatkan Akim.  Aku segera ke biliknya, pintu ku ketuk perlahan dan nampaknya dia tidak menguncikan pintu. Aku tolak daun pintu dan tiba-tiba aku kaget melihat Akim sedang kiam di atas sejadah dalam keadaan berbaring. Matanya terpejam rapat dan dadanya turun naik menarik nafas.



            “Kim… Akim kenapa ni?” Aku tepuk-tepuk bahu dia namun dia masih memejamkan mata. Kemudian aku nampak dia celik dan memandang ke atas lalu kembali terkumat-kamit. Rupa-rupanya Akim solat sambil berbaring. Aku tunggu dia selesai, dia telengkan kepala merenung ku dengan mata redupnya. Bibirnya kering sangat dan nafasnya turun naik seolah-olah menanggung kesakitan sangat. Aku tergamam melihat keadaannya yang selemah ini. Aku sangka dia hanya muntah-muntah biasa sahaja. Akim seolah-olah ingin bercakap dengan ku namun suaranya jauh sehingga aku tidak dapat mendengarnya. Ini serius ni, aku bagaikan terdengar-dengar lagu wonderpet. Aku segera merapatkan telinga ke bibir Akim, dia minta aku lapkan tubuhnya dengan tuala suam. Aku bergegas ke dapur lalu menyediakan keperluan yang diingininya. Aku duduk bersila lalu aku tanggal kan baju yang dipakainya. Aku lap seluruh tubuh Akim dengan tuala suam. Setelah mengelap bahagian hadapan dia mengereng meminta aku mengelap bahagian belakang tubuhnya juga. Tidak lama kemudian Akim sendawa berkali-kali. Sebenarnya aku tahu juga petua begini, abah selalu suruh aku buat begini kalau dia rasa perut memulas kerana serangan ‘angin’. Abah mengajar aku satu petua dengan membacakan selawat syifa dan surah al-ikhlas sebanyak 11 kali ketika melakukan perkara itu.



Tubuh Akim terasa keras dan pejal tidak macam tubuh abah. Bila sesekali tangan aku terkena dada atau perutnya aku rasa lain macam, bagaikan kena renjatan elektrik sehingga aku rasa aliran darah ku tidak normal. Sebaik sahaja sendawa beberapa kali Akim mula boleh duduk, aku suruh dia pakai baju semula. Aku bawa makanan ke bilik Akim lalu aku minta dia makan sedikit. Dia macam tidak berdaya, lalu aku tolong suapkan dengan tangan ku sendiri. Bodoh betullah, mesti dia geli makan dengan tangan aku, kan lebih baik kalau pakai sudu. Namun aku nampak dia tetap mengangakan mulut bila aku menyuapnya dengan tangan. Dia makan sambil memejamkan mata, entah kenapa aku rasa macam ternampak dia senyum. Ah! mungkin khayalan ku sahaja, takkan orang sakit hendak senyum. Satu… dua… tiga… akhirnya habis sepinggan dia makan bersuap, ini betul-betul sakitkah atau mengada-ngada. Aku keliru, tapi berbaik sangka itukan lebih bagus.