Thursday, September 12, 2013

Drift Cinta- episod 1





Bab 1



“Lulu Aqila  Binti Zahar!.”
“Saya!”. Aku segera memanggungkan kepala dan meletakkan sketch book ke dalam beg yang ku bawa. Aku bersegera bangun dengan penuh rasa yakin walaupun menyedari tempat ini merupakan pusat temuduga aku yang ke lima pada minggu ini. Satu hari satu temuduga dan setiap temuduga itu memang cukup ‘menduga’ bagi ku.  Aku membetul-betulkan tudung yang ku pakai lantas melangkah dengan pantas dan penuh karisma ke bilik temuduga. Tudung bawal crown kelabu dual tone bagaikan menyerlahkan wajahku yang putih bersih. Mengenakan busana kurung dari kain kapas jepun warna senada,aku langsung tidak menggunakan alat solek yang  warnafull’ dan hanya berpakaian seadanya. Bagi ku kemas dan ringkas masih mampu menyerlahkan keanggunanku (fuh! ayat perasan yang tidak menahan).


Sebenarnya aku sedar tidak ramai yang  menghadiri sesi temuduga itu, masing-masing yang hadir kelihatan mengenakan busana rasmi yang bergaya dengan karektor tersendiri. Aku sempat mentelaah hiasan dalam syarikat ini. Ringkas namun tetap memancarkan auranya tersendiri. Fail berwarna hitam  segera ku kepit. Aku sempat berbisik kepada watak Tifa Lockhart Final fantasy di hadapan dan cloud di bahagian belakang.
“Doakan Lulu berjaya tahu.” Aku segera memeluk fail itu bagaikan sedang memeluk dua watak kegemaran ku ini. Pintu bilik temuduga aku ketuk perlahan dan tiba-tiba aku dilanda debaran tatkala mendengar arahan masuk. Aku segera membuka pintu dan automatik  mataku melingas melihat ruang bilik yang agak kosong dan luas itu.  Hiasannya cukup ringkas dengan perabot yang juga ringkas. Terdapat aquarium yang ‘melekat dan terbenam’ di dinding pejabat itu dan aku merasai aura yang cukup kuat untuk menyukai bilik ringkas tersebut.
“Kalau lah ini pejabat aku kan best, mau tak keluar dari bilik agaknya. Kalau boleh di sinilah aku hendak makan tidur.” Aku bergumam sendiri tanpa menyedari bahawa gelagat aku sedang diperhatikan oleh sepasang mata helang bakal majikan ku. Majikan dalam pembikinan. Aku basahkan bibir yang kering dengan lidah dan menelan air liur bagi mengumpul kekuatan.


Fail yang memuatkan resume dan sijil-sijil serta diplomaku dibelek-belek dengan wajah cuak oleh sipenemuduga itu. Beberapa kali lelaki itu mengulang lihat kulit fail tersebut, sambil sesekali mengelengkan kepala. Lelaki yang itu hanya mengenakan t’shirt berkolar warna merah hati membelek-belek failnya tanpa mengeluarkan sepatah perkataan. Aku sempat mentelaah wajah lelaki yang mungkin juga bakal bos ku yang bertanda nama Ku Izzudin b. Ku Izhar di mejanya. Bagi ku dia seorang lelaki yang ringkas, namun kelihatan garis ego di wajahnya. Dia tidak terikat dengan etika pakaian rasmi, hanya mengenakan t’shirt polos, seluarnya aku tidak  sempat hendak perhatikan kerana lelaki itu duduk. Kening lelaki itu lebat dan tersusun kemas, serta memiliki jari runcing yang beroma halus di pangkal sendi jarinya. Kulitnya sederhana cerah, serta memiliki kumis yang nipis serta sedikit janggut yang dirapikan, melahirkan aura tersendiri di wajah lelaki tersebut. Tiba-tiba sahaja aku terasa bagaikan aiskrim magnum yang sedang mencair bila melihat wajahnya.
            “Dah puas tengok saya?” satu suara tiba-tiba menyergah. Gulp! Tabrak jantung ku!
aku terasa hendak tercekik lidah sendiri terkejut.
            “Lain kali nak tengok mintak izin dulu!”
Uiksss kena mintak izin ke?’ aku mula rasa ‘sengal’ dan kurang sihat. Perut ku terasa mulai memulas minta dikeluarkan isinya. Penemuduga itu bagaikan sengaja menambahkan darjah tahap malu ku dengan teguran tersebut. Mata keranjang ku selalu bikin malu pada tuan. Pantang sangat  tengok benda cantik, mata terus tak boleh berkelip. Wajah yang kacak itukan sebahagian dari keindahan alam semulajadi, apa salahnya kalau aku sekadar menghayatinya dengan dua belah matanya yang juga anugerah dari ilahi. Matakan di cipta untuk melihat, bukan untuk mencuri. Tetapi kalau untuk mencuri hati, ia boleh dipertimbangkan. Aku tersenyum sendiri, kalaulah aku boleh mencuri hati dia kan best.


“Awak memang suka tengok curi ye? perempuan kalau memandang lelaki dengan pandangan macam awak ni, itu tandanya dia bernafsu”.  Sekali lagi aku terkedu. Aku hanya mampu tertunduk lesu, ‘wallawei belum dapat kerja dah kena bambu, cuak beb’. Encik Penemuduga di hadapan ku ini memang bersikap biadap. Sekalipun aku  memohon pekerjaan di sini, sewajarnya aku dihormati. Terasa-rasa sahaja aku hendak menjawab kembali namun terlebih dahulu lelaki itu bangun sambil meletakkan kembali fail dan resume ku dengan agak kasar.
“Kenapa pandai-pandai nak ubah nama, apa nama yang mak ayah awak bagi tak cukup sedap?”
            ‘Huh! mulut cam longkang’. Aku  merungut perlahan sambil menguis-nguis lantai yang licin. ‘Baru ada company kecik dah ek! kutuk dalam hati, bukan dia dengar pun kan.’
“Nama dalam IC lain, nama pada resume lain. Pandai-pandai tambah, kenapa nama Nurin Aqilla tak sedap ke? Tak cukup glamer?  Ni boleh tukar suka-suka jadi Lulu Aqilla apa kes?”.
“Ni nama pena tuan, nama saya atas karya-karya saya”
“So, awak rasa perlulah nama pena ni. Urmmm.... Lulu... Lulu...macam ulat bulu!”.
“Tuan, ni sesi temuduga ke sesi temulawak?”
“Saya ada macam buat lawak ke?”
“Adalah juga,  tapi lawak tak cerdik kot”
“Di mana tak cerdiknya?”
“Ye lah, terpulanglah saya nak letak nama Lulu ke... Lawa ke... Latipah ke, itu kan hak saya”.
Lelaki itu nampak tersentak, namun kemudiannya tersenyum. Tiba-tiba sahaja aku rasa ada busur menerjah jantung. Toinkkkkk! tepat mengenai sasaran!. Aku terasa bagaikan hendak terkoyak limpa melihat panahan senyuman itu sehingga aku tidak sanggup memandang tepat seperti tadi. Aku menelan air liur dengan rasa perit, bala apakah yang berlaku sehingga aku tidak mampu membalas kata-katanya. Sebelum ini aku memang lepas laku jika ada sesiapa yang cuba bersikap biadap dengan ku. Tapi kali ini aku terasa ‘malas’ hendak melawan. Aku hanya berdiam dan mengutuk dia dalam hati semahu-mahunya,’cis! Perasan sungguh mamat ni. Jagalah kalau kau jatuh cinta dengan aku, aku lastik hidung kau dengan getah belacan. Aku tersenyum sendiri walaupun aku rasa senyum ku tidak cukup manis. Senyum senget bila kena sindir.


Tiba-tiba aku rasa penemuduga itu hanya ingin menguji ku, sekadar hendak menduga dalamnya laut dan tohornya pantai , tapi kalau dia sengal, Aku lagi sengal dengan darjah sengal yang cukup tinggi. Dia belum kenal siapa Lulu Aqila Zahar. Aku buat-buat berani dan kenyit mata kepadanya, menyembunyikan resah yang berbara. Sebenarnya aku bukan hendak menggoda, sumpah tiada langsung niat itu sebaliknya cuma hendak menguji minda penemuduga yang perasan kacak ni. Kebal sangat ke hendak berdepan dengan Lulu?.
            “Awak kutuk saya ye?” Haila, aku kenyit mata pun dia boleh tahu aku kutuk dia.
            “Macam mana tuan tahu saya kutuk?”
            “Tengok cara awak pun saya tahu. Hati awak penuh dengan rasa cuak, macam ni awak nak kerja di syarikat saya?  pekerja saya harus selalu puji saya! faham!”.
            “Faham tuan!” Aku angguk kepala walaupun ketika ini aku rasa macam hendak muntah hijau. Oh baldi! Dimanakah dikau?
Allamakkkksiot’lah mamat ni, nak kena puji ke?’ Aku jadi cuak, cuak kerana bahagian puji memuji dan kipas mengipas ni aku memang gagal. Tetapi kalau masuk ‘department’ kutuk  sampai tahap boleh menjahanamkan pundi hempedu, memang aku hebat. Bukan kutuk sebenarnya, tetapi ‘kritikan membina’.
“Awak rasa awak layak  bekerja di syarikat saya?”
“Kenapa saya tak layak?”... soalan dijawab dengan soalan.
“Seorang akauntan tetapi  memilih kerja interior designer? apa awak ingat nak cari glamer dengan kerja ni? jumpa orang kaya,  jumpa anak dato... layan datin-datin... jumpa CEO company besar? Huh! kalau itu matlamat awak,  awak silap memilih syarikat saya”
Lelaki bercakap sambil menyeluk saku. Aku sempat menilai, lelaki yang menyeluk saku sambil bercakap sebenarnya cuba menyembunyikan sifat gemuruh dan kurang keyakinan diri. Tiba-tiba aku bangun dan  tersenyum sinis. Malas aku hendak melayan lelaki ego macam ni. Kalau harap rupa sahaja yang boleh mencairkan, itu dunia belaka. Aku tidak cair dan tidak pernah akan cair. Kalau cair jugak anggap sahaja itu takdir. Aku mengambil failku semula. Tanpa permisi aku meninggalkan lelaki angkuh itu
            “Terima kasih Mr Arrogant”.
Aku segera berlalu keluar. Namun sekilas aku dapat melihat wajahnya berubah mendadak atas tindakan spontan ku. Namun jauh di sudut hati seakan ada sesuatu yang cuba aku tahan , aku terasa bagaikan dihambat kehampaan, bagai ada bisikan getaran di hatiku sehingga aku berasa ralat atas sikap ku sendiri. Kenapa aku agak biadap dan lepas laku kepada bakal majikanku?. Apa salahnya sekiranya aku cuba berlembut sedikit moga diberikan pekerjaan tersebut kerana aku benar-benar memerlukannya. Masuk ini sudah lima syarikat aku jejaki untuk sesi temuduga. Rezeki ku cukup berat, mungkin juga kerana aku silap memilih pekerjaan. Sebenarnya tidak berminat untuk bekerja sebagai akauntan atau terlibat dengan bidang pengurusan. Aku lebih suka bebas dan mampu menyalurkan idea-idea ku dalam bidang seni. Seni lukis, seni reka, seni hiasan dalaman..semua pun aku suka asalkan seni. Sesekali aku sempat terfikir, akukah yang terlalu ego tentang harga diri atau atau terlalu tegas dalam pendirian dan enggan diperkotak katikkan. Bagi ku kedua-duanya nampak sama tapi tidak serupa. Antara ego dan tegas, garisannya terlalu halus untuk dinilai.


Aku menonong menuju ke kereta, Viva berwarna kuning itu segera ku hidupkan enjin. Aku memasang aircond pada tahap maksimum, panas hati berhadapan dengan bakal majikan sombong. Gear undur segera ditarik ku tarik, pedal kereta manual itu aku tekan rapat serentak dengan handbreak. Lagak pelumba drift, kereta rugged yang dihias pelbagai stiker bagai kereta mainan itu berpusing dengan laju pada putaran 360 degree, bunyi decit jelas kedengaran, enjin turbo segera menunjukkan taring. Kombinasi udara dan minyak dalam kaburator berpadu secara seimbang dan serentak dengan itu aku tekan  pedal  rapat ke lantai sehingga kedengaran bunyi letupan kuat keluar dari ekzos kenderaan. Aku segera memecut tanpa ampun. Lantaklah, malas aku hendak berat kepala memikirkan pekerjaan yang belum tentu menjadi milik aku.


Izzudin  memerhatikan dari kaca tingkap cermin gelap, gulp... gulp... gulp air liur ditelan berkali-kali. Satu dengusan keras dilepaskan “Pherghhhhhh” dia kagum pada skala 8/10, superwoman mana pulak ni?. Dia mencapai resume yang ditinggalkan di atas mejanya, mentelaah kelayakan gadis yang ditemuduga sebentar tadi. Sebenarnya sejak menerima surat permohonan gadis itu tempohari dia telah memilih dan membuat keputusan calon bakal pekerjanya, temuduga sekadar satu syarat. Syarat untuk bertemu dan menduga sejauh mana gadis itu mampu bertahan dengannya. Bekerja dengan Izzudin harus tahan dari aspek mental dan fizikal. Bukan sebab gadis itu cantik, tapi dia cukup kagum melihat lampiran artwork gadis itu. Kreativiti yang cukup tinggi dapat dilihat dalam hasil karyanya, halus dan detail. Ia tidak dibuat secara sewenang-wenangnya dan hasil tersebut menerapkan elemen timur dan barat serta ada sentuhan tradisional yang cukup indah. Izzudin pasti gadis ini melakukan research sebelum membuat lukisan ini.


Sukar menerbitkan rasa kagum dalam diri Izzudin, namun kali ini dia rasa ingin tabik spring 18 kali. Hasil kerja yang cukup halus dan terperinci. Kalau ditolak bermakna Izzudin sengaja menutup pintu rezekinya pada masa akan datang, sekaligus menutup juga peluang mengenali gadis yang cukup ‘telus’ dengan karektor  kerek kipas tidak berangin itu.
            “Hidayah masuk kejap!” Izzudin menekan interkom di meja. Tidak lama kemudian seorang wanita muda berbaju kurung hijau pucuk pisang muncul sambil tersenyum. Lipstik yang dioles sekadar cukup itu nampak semulajadi, wanita ini memang tidak perlu solekan tebal untuk nampak cantik kerana dia sememangnya cantik.
            “Ada apa encik, nak teh, kopi atau air sirap?” dia senyum sehingga lesung pipitnya jelas lekuk ke dalam.
            “Banyak awak punya sirap hahaa” Izzudin ketawa.
            “Jom minum, aku laparlah dah lama tak makan nasik lemak ni”  Izzudin mengajak gadis itu menemaninya bersarapan.
            “Biar betul,  dah jam berapa ni orang semua dah nak pi lunch” Hidayah melihat jam di tangan.
            “Aku tak sarapan lagi ni jomlah” Izzudin mengenyitkan mata sambil tersenyum penuh harap. Dia mengurut-ngurut perut sambil mengeliat.
            “Izzue ni memanglah, dari dulu suka macam ni...” Hidayah turut ketawa, mereka sama-sama meninggalkan bilik pejabat dan berjalan melalui siar kaki untuk ke cafeteria kecil di syarikat tersebut. Ruang VIP yang memang tersedia untuk  kakitangan bahagian pengurusan atasan dimasuki. Bilik berhawa dingin itu tidak menghalang Izzudin menyalakan Dunhillnya, Hidayah cuak dengan sikap itu. Izzudin memang perokok tegar, namun menegur dia bagai mencurah air di daun keladi.
            “Buatkan surat tawaran untuk budak ni” Izzudin menyerahkan satu resume kepada Hidayah. Jarinya menyepit rokok, asapnya berlegar-legar bila dihembuskan. Hidayah terkebil-kebil mengelak asap sedangkan Izzudin sesuka hati menghembuskannya. Hidayah menyepit hidungnya dengan ibu jari dan telunjuk. Tangan yang sebelah lagi mencapai resume tersebut sambil menepis-nepis asap rokok.
            “Alah bukan tak biasa pun” Izzudin ketawa melihat wajah Hidayah memerah, dia suka melihat wajah itu bila bengang, lebih semulajadi. Hidayah melihat lama resume tersebut, matanya tiba-tiba tertancap  pada wajah pemilik resume. Dia bagaikan mengingati sesuatu, namun kabur seakan ada sesuatu yang hilang. Dia terdiam dan menatap lama gambar tersebut.
            “Kenapa ni” Izzudin menyedari ada sesuatu yang tidak kena.
            “Entah la,  rasa macam biasa tengok lah pic ni tapi tak tau kat mana” Hidayah gagal mengimbau memori.
            “Cantikkan?” Hidayah menyambung lagi masih menatap foto itu.
            “Cantik tu subjektif... aku rasa awak pun cantik” Izzudin ketawa melihat wajah Hidayah yang tiba-tiba berona tersipu.
            “Awak ni kalau dipuji... kembang lapan mangkuk” Izzudin memancung senyum Hidayah.
         “Nasiblah saya dah lama dengan awak, kalau tak mau jugak saya sepak sampai makan gigi “ Hidayah pula ketawa pulas, tahu sangat dia loyar buruk Izzudin.  Izzudin memang sengal, tapi sengal Izzudin tetap memelihara adapnya sebagai kawan Hidayah. Mereka sama-sama membina syarikat itu. Hidayah lebih menjaga bahagian pengurusan kewangan sedangkan peranan Izzudin lebih menyeluruh. Kepercayaan, itu yang tidak mampu diberikan kepada mana-mana lelaki kecuali Izzudin. Hidayah mengenali Izzudin sejak mereka di zaman persekolahan lagi.



9 comments:

  1. best! teruskan berkarya . kalau senang lawatlah blog saya.
    http://zalilawati.blogspot.com/

    ReplyDelete
  2. Senja mengamit hatiku ke sini..dan terus membaca kisah menarik ini...mcm tak percaya dindakah yang menghasilkan karya hebat ini...tahniah ye dinda..

    kanda idamahmud

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq kanda sbb sudi menjengah..ntkan episod seterusnyaaaaa..debaran semakin terasa......tungguuuuuuu

      Delete
  3. best2 ..... nak lagi hihihi

    ReplyDelete