Monday, March 9, 2015

SAYANG AWAK SENDAT-SENDAT(BAB 1)



Bab 1


     VROMM! Vromm... vrommm! Throttle dipulas-pulasnya, aku gigih menyelinap di celahan kenderaan berat ketika jalan sesak. Sesekali telinga ku menangkap bunyi hon memberikan amaran. Ada aku kisah, aku pun pembayar cukai jalan juga dan tidak ada undang-undang negara di dunia ini yang menyatakan jalan raya itu hak ekslusif sesiapa pun. Cara aku menunggang mungkin sedikit  merbahaya, tapi aku pun tahu, nyawa aku bukan ada spare di dalam peti sejuk. Aku pun tahu untuk takut mati.

            Poooonnn! Kurang ajar punya cekadak. Harap badan saja besar, sama naik pemandu dengan kenderaan tidak berdosa tu. Potong ‘makan jalan’! Hawau punya kontena, aku sumpah jadi peti sejuk baru tau. Pemandu itu bagaikan sengaja memotong terlalu hampir dengan ku sampaikan ‘bergegar’ motorsikal yang aku tunggang.

            Ponnnnnn! Sebuah kereta lagi sengaja mencabar aku. Aku segera menoleh, lantas mengangkat cermin mata hitam ku. Mata ku bertemu dengan mata pemandu CRV yang turut menurunkan cermin hitamnya.

            “Huh! mamat K-pop, memang tak boleh blah lah!” Dia kelihatan serius mengajak dia bertanding laju. Aku betulkan semula cermin mata ku, lantas tubuh aku rendahkan sedikit. Dengan satu tarikan clutch aku segera menukar gear rendah. Perahhhhhhhh! Tanpa belas kasihan aku memotong CRV berwarna hitam metalik itu.

            “Huh berapa laju dia ‘lari’ ni?” aku bertanya kepada diri sendiri. Kereta selaju itu sudah pasti amat merbahaya kepada kenderaan-kenderaan  ringan yang lain. Aku dapat mengagak kelajuannya pasti tidak kurang dari 150/kmj. Jalan sesak kot! Aku himpit keretanya itu tanpa belas kasihan. Kalau aku mati kerana kemalangan dia sebabkan olehnya, dia pasti akan susah seumur hidup.

            Aku memintas CRV itu sambil bagi isyarat meminta pemandu itu ke tepi. Dia masih menunjukkan tanda-tanda tidak mahu mengalah. Aku malas hendak main kasar, namun kalau dia tidak berhenti aku pun tidak akan teragak-agak hendak ‘main kasar’.

            Sengaja aku biarkan dia rapat di belakang tanpa memberi peluang untuk dia memotong. Dia pula bagaikan tidak mahu mengalah dan enggan ke tepi. Aku menghela nafas panjang, kalau begini terpaksalah aku main kasar juga.

            Nenongggg... nenongggggg aku bunyikan alarm amaran. Kenderaan lain mula memberikan laluan.

            Sretttttt! Dia menekan brek kecemasan dan ...

            Bum! Kereta di belakang menghentam CRV metaliknya. Aku berhenti lantas menongkat motorsikal. Dengan perasaan ‘macho tidak kesian’ aku menghampiri CRV tersebut. Namun belum pun aku sampai...

            “Woiii bawak keter serupo ponde!” Aku memandang ke hadapan, seorang mamat badan ketak-ketak dengan stereng lock menghampiri CRV tersebut.

            “Pranggg!” Berkecai cermin belakang CRV. Weiii dorang ingat aku ni halimunan ke atau arca hiasan?

            “Encik! Jangan guna undang-undang rimba!” Aku berlagak tegas sambil meraba kedudukan pistol di pinggang. Bukan untuk mengugut, tetapi bersedia andainya steering lock tersebut bakal menghentam kepala aku.

            Polis make rosuoh belako, hok dop bule leseng demo bagi leseng, jadi gini lah! Bawak ketor seropu ponde!” Lelaki itu nampak sangat tidak puas hati.
            “Apa-apa hal bincang kat balailah encik.” Aku panas melihat ‘angin pasang’ lelaki tersebut. Dia bagaikan hilang akal, tiba-tiba sahaja menghentam semberono kereta CRV tersebut. Aku benar-benar rasa tercabar, aku terus mendekatinya lantas ...
            Haip! Aku kilas tangannya ke belakang dan aku tekan tubuhnya rapat ke CRV. Dia terbentur dan kaget dengan tindakan aku. Kalau kail panjang sejengkal, takkan aku sanggup menunggang jentera berwarna putih ini melawan kesesakan lalu lintas.
            Dia cuba membalikkan diri, kudrat aku tidak cukup gagah untuk menahan tubuh sasa lelaki ini.  Habis fikir...

            Klik! Aku kenakan gari ke tangannya, sebelah di tangannya dan sebelah lagi pada pemegang pintu kereta CRV hitam metalik itu.

            “Puihhh polis gedebe!” aku kenyitkan mata ke arahnya, lantas segera ke kereta Honda City milik lelaki tersebut. Nombor pendaftaran aku catatkan lantas aku segera menghubungi cawangan trafik tempat aku bertugas. Setelah maklumat disalurkan aku menghampiri CRV hitam metalik tersebut.

            Aku mengetuk cerminnya dengan kekura tangan. Aku cukup yakin dan pasti, cermin hitam CRV tersebut tidak melepasi piawaian Jabatan Pengangkutan Jalan.

            “Encik, sila keluar dari kereta encik.”

             Diam! Langsung tiada tindak balas, jangankan membuka pintu, cermin kereta pun tidak diturunkan. Aku ketuk lebih kuat lagi.

            “Sila keluar dari kereta encik!” Aku keraskan suara sambil mengetuk dengan lebih kuat lagi. Sementara itu, pemilik Honda City membebel tidak berhenti-henti sampai aku naik rimas. Buruk betul kalau lelaki membebel, harap badan sahaja ‘ketak-ketak’ tapi mulut macam Joyah Sengal ( bukan nama sebenar).

            Aku angkat tangan untuk mengetuk lebih keras, namun tiba-tiba aku terhenti bila tidak semena-mena pemilik Honda City yang bergari itu jatuh terlentang dengan tangan tergantung dipemegang pintu CRV.

            “Opocot anak itik makan berdiri!” Bulat matanya terkejut bila tiba-tiba sahaja pemilik CRV itu menolak pintu kereta. Aku senyum segaris...

            “Oh melatah rupanya.” Aku cuba mengawal senyum. Pintu CRV terbuka, namun dihadang oleh pemilik Honda City tersebut.

            “Encik sila keluar.” Aku mengeraskan suara memberi arahan. Perlahan-lahan seorang lelaki keluar sambil membetulkan kolar bajunya. Dia berdiri sambil mengepit lutut.

            Aku pandang wajahnya atas bawah silih berganti. Lelaki itu nampak terdesak dengan wajah merah bagaikan ingin menangis. Aku segera mengeluarkan slip saman...
            “Kak, tolonglah kak, kak samanlah saya berapa pun tapi lepaskan saya cepat. Kawan saya sakit nak bersalin kat rumah tu, suaminya out station.” Bersungguh-sungguh lelaki yang tidak begitu lelaki itu menerangkan dalam suara huskynya.

            “Kawan ke isteri?”

            “Betul kak, kawan...” Dia buat isyarat angkat tangan bersumpah. Aku mula cair, pertamanya tentulah aku kasihan kereta lelaki itu yang aku sifatkan telah ‘cedera parah’ dihentam steering lock, seperkara lagi bila lelaki itu kata kawannya hendak bersalin. Kalau aku lengah-lengahkan mungkin memudaratkan kawan lelaki itu. Silap-silap dia bersalin berseorangan di rumah.

            “Betul awak cakap ni?”

            “Betul kak, sumpah!” Suka jiwa dia sahaja memanggil aku kak, bila pula mak dia beranakkan aku? Dia angkat tangan lagi dan kali ini lebih tinggi. Kakinya semakin terkepit. Naik geli pula aku melihat kesotongannya. Wajahnya merah padam dipanah matahari. Bibirnya kemerah-merahan dan paling aku tidak sanggup melihat hidungnya yang terpacak mancung dan menguncup di ‘pucuk’nya. Sumpah! Kalau dibandingkan dengan hidung aku yang kembang ini, ia bagai kicap dengan nasi. Walaupun di pinggan yang sama namun ia amat berbeza.
            Tidak lama kemudian sebuah kereta polis sampai. Setelah berbincang ringkas, tugas menyelesaikan kes kesalahan lalu lintas ini diambil alih oleh rakan sekerja ku.
                       
           
VISOR segera aku turunkan.
            Nenongg... nenonggggggg aku memulas throttle sehingga hampir habis. Meter rpm terus menegak dan akhirnya condong ke kanan, begitu juga meter had laju. Tanpa perlu menoleh, aku menunggang bagaikan ribut. Dia terkepit di belakang ku mengecutkan diri sekecut-kecutnya agar muat berhimpit di jentera putih berjenama Honda ini. Perit pinggang ku dicengkam oleh mat sotong seorang ini. Biarlah, ini masa dia. Mana tahu kalau aku susah kelak, akan ada mana-mana hamba Allah yang akan datang menolong pula.
            Kami terpakir di hadapan sebuah rumah agam tersergam. Dia terkocoh-kocoh menolak pintu pagar yang tidak berkunci.
            “Yatt! Oh Yatt! Awak kat mana?” Wajah lelaki itu sendat berkarat, bajunya lenjun berpeluh.
            “Arie... tolong aku Rie, aku dah tak tahan ni.” Suara wanita mengerang kedengaran dari dari sebuah bilik yang terbuka. Lelaki itu terus menerpa.
            “Ya Allah Yat...!” Pot pet pot pet lelaki itu membebel, sambil cuba memapah wanita yang dipanggil Yat itu.
            “Saya panggilkan ambulan.” Aku tidak perlu menunggu persetujuan, terus sahaja aku membuat panggilan melalui radio amatur kami. Aku menghampiri wanita yang sudah pucat lesi dan berpeluh menahan sakit ini.
            “Ariie aku dah tak tahan Rieeee.” Suara wanita itu terdesak bagaikan meneran. Wanita itu mengeleng-ngeleng tanda dia tidak mampu lagi menahan gesaan bayinya untuk melihat dunia. Aku tarik nafas sedalam-dalamnya dan cuba bertenang.
            “Baringkan dia dulu, letak bantal tinggi sedikit dari aras kaki.” Aku memulakan teori ku, mujurlah ilmu paramedik ketika di universiti dahulu sedikit sebanyak masih bersisa dalam kepala aku yang semakin berkarat ini.
            “Yat... tenang Yat, aku ada ni.” Lelaki itu memujuk dan wanita itu mula berbaring, lututnya dibengkokkan dalam posisi hendak bersalin. Aku terpaksa memastikan keadaan wanita itu selamat sebelum ketibaan ambulan. Sekilas mata aku bertemu dengan lelaki itu, dia nampak yakin untuk melakukannya. Gaun wanita itu aku selak sehingga menampakkan lutut dan pahanya yang putih mulus.  Lelaki itu cuba berpaling, namun pada masa yang sama tangannya digapai oleh wanita itu dan mereka saling menggenggam. Wanita itu menghela nafas lalu meneran kuat. Serentak dengan itu lelaki itu juga ikut meneran dengan lebih kuat lagi.
            Aku menelan liur kegugupan tatkala melihat keajaiban ciptaan Allah. Serviks wanita itu terbuka dan kelihatan mengembang. Aku pandang wajah lelaki itu yang seakan-akan cuba melihat ke situ. Aku geleng dan dia faham.
            “Arghhhh...” menggigil-gigil wanita tanpa sebarang epidural itu meneruskan perjuangannya. Lelaki itu juga ikut meneran dengan lebih kuat lagi. Mata aku tertancap kepada objek hitam yang mula menonjol dipermukaan laluannya.
            “Kuat lagi puan, cuba lagi.”Aku memberikan galakan.  Lengan lelaki itu dicengkam oleh wanita tersebut sehingga ketara meninggalkan garis-garis kesan calar. Namun lelaki itu tetap setia menjadi papan cakar wanita tersebut tanpa sedikitpun keluhan.
            “Arghhhhhhh...!” Sayu dan penuh penyerahan, sekali lagi wanita itu meneran lebih kuat dan lebih lama. Aku menelan air liur bertalu-talu lantas aku cekup kepala bayi yang menonjol diikuti oleh tubuh mulusnya.
            Tangisan syahdu memecah hening petang tersebut, bayi yang masih bertali pusat itu aku serahkan kepada lelaki tersebut lalu dia menyambutnya lantas dibalutkan dengan bajunya sendiri. Setitis... dua titis... tiga titis aku melihat genangan air mata lelaki itu jatuh. Wanita itu turut mengalirkan air mata. Pada masa yang sama, mata aku tunak memandang tali pusat yang masih belum keluar sepenuhnya dari rahim wanita itu.
            Aku tarik perlahan-lahan tali itu dan akhirnya lahirlah seketul benda berwarna merah hati mengakhiri tali pusat bayi itu. Sejurus kemudian siren ambulan mengakhiri resah ku, untuk diapakan kah daging nan seketul yang bersambung dengan tali pusat ini?

Sunday, September 28, 2014

Bukan Hanya Kita



Bab 5




           






       DIA berlari-lari anak  mengejar gadis yang sedang gigih mengejar ETS itu. Lagak gadis itu bagaikan atlit larian lompat pagar 110 meter. Begitu terasa kudratnya pada usia mencecah 40 tahun seakan terhakis melawan arus masa.
   “Sudahlah tu, jangan kejar lagi.” Lelaki itu hanya mampu melihat wanita itu kepenatan berlari sambil membawa beg milik anaknya. Dia tercungap-cungap dengan peluh yang mula membasahi wajahnya.
   Huh cair mekap aku.” Dia bergumam sendiri. Lelaki itu menghampirinya lalu terus mengambil beg yang kelihatan amat berat itu dari tangannya.
   “Huh berat jugak, dia bawak apa ni.”
   “Bawak pahala.” Wanita itu menjawab selamba, lantas lelaki itu tersenyum meleret. Beg beroda itu diseret dengan selamba.
   “Nak ke mana tu?”
   “Hantar beglah.” Wanita itu menggarukan lengannya yang tidak gatal.
   “Nak hantar ke mana?”
   “Ke Kolejlah.” Wanita itu membeliakkan mata.
   “Awak tahu ke alamatnya.”
   “Wan kan ada... kita pergi sekalilah.” Wanita itu segera menghela nafas panjang. Beg tersebut terus diseret ke kereta lelaki itu dan booth kereta segera dibuka.
   “Kita nak pergi naik kereta ni ke?” Lelaki itu mengangguk sambil tersenyum.
   “Habis kereta saya?”
   “Tinggallah dulu, nanti Jai datang ambil.” Wanita itu nampak serba salah, namun akhirnya menghela nafas panjang.


SAYA rindu.” Wan Aini hanya berdiam. Farief menjeling ke sebelah, ketara wanita itu langsung tidak mempedulikannya malah matanya tunak memandang ke hadapan. Dia menelan air liur cuba menenangkan diri sendiri. Berhadapan dengan  wanita bernama Wan Aini itu bukan sesuatu yang mudah. Wanita itu amat sukar diduga dan wanita itu juga amat sukar ditelah perilakunya.
   “Wan, kita kahwin ye.” Wanita itu diam lagi. Farief tenang memandu, namun hatinya tetap berdebar menunggu reaksi wanita itu.
   Ponnnnnnnnnnnnnnnn...! Sebuah lori yang sarat dengan muatan dipandu laju dan cuba memotong kenderaan di hadapannya. Namun belum sempat lori tersebut memotong, ada sebuah kereta Myvi sedang bergerak laju juga dari arah bertentangan. Farief terpaksa bertindak mengejut, stereng CRV terpaksa dihalakan ke tepi, di bahu jalan bagi memberi laluan kepada lori tersebut.
   Brek mengejut dan lencongan arah yang amat drastik menyebabkan wanita ditempat duduk penunpang itu gagal mengawal diri. Dia terdorong ke hadapan lalu mukanya terjerumus ke papan pemuka kereta sebelum kembali terduduk dan kemudiannya terbentur pula ke tepi di bahagian pintu kereta.
   “Auwww!!!”
   “Wan, awak ok?” Ketara kebimbangan di wajah Farief. Wan Aini hanya menggangguk-anggukkan kepala.
   “Itulah, selalu sangat tak nak pakai seat belt.”
   “Tak payah nak bagi ceramah JPJlah kat sini.” Farief  menghela nafas panjang lalu menghentikan kereta ditempat yang lebih selamat.
   “Sakit lagi, sini saya tengok.”
   “Tak payahlah, sikit je.”
   “Sinilah saya tengok, tak de sikitnya. Bukan main tonyoh lagi Wan cium dashboard tu tadi.” Wan Aini menghalakan pandangannya ke luar, enggan membenarkan Farief mentelah wajahnya  terasa berdenyut-denyut.
   “Bagilah saya tengok.”
   “Tak payahlah, sikit je kot.” Farief tidak berpuas hati lalu menarik dagu wanita itu menghala ke arahnya.
   “Wan, hidung awak berdarah!” Wan Aini terus berpaling ke arah lain.
   “Wan, pandang saya...” Wan Aini cepat-cepat mencapai tisu basah yang sememangnya tersedia dalam kereta Farief lalu mengelap hidungnya sendiri. Dia tetap memalingkan wajahnya agar tidak menjadi mangsa tatapan mata Farief.
   “Wan!” Farief menarik dagu wanita itu.
   “Jangan sentuh saya boleh tak?”
   “Saya memang nak sentuh awak, nak sentuh jasad awak, nak sentuh hati awak. Tapi awak tak pernah bagi saya peluang.”
   “Apa yang hang merepek ni.”
   “Wan... jangan kasar sangat pada saya.”
   “Tahupun kasaq, lagi hang merepek  cheq sumbat mulut tu dengan tisu basah ni.”
   “Wan nak saya mati tercekik tisu?”
   “Tisu ja pun, bukan getah sekerap. Kunyah pilah, hancoq teruih telan.” Farief tersenyum, lantas menghela nafas panjang.
   “Saya rindu awak yang ini, awak yang selalu buat saya rasa gembira.”
   Huh cemuih aih! Muka hensem, gaya macho tapi dalam hati ada bunga teloq.”
   Hensem pun kalau awak tak terpikat, tak guna jugak kak oiii.” Farief segera meneruskan perjalanannya sementara Wan Aini leka mengelap hidungnya yang berdarah. Biarpun pendarahan telah berhenti, namun Wan Aini dapat merasakan hidungnya seakan mula membengkak.


FARIEF memberhentikan keretanya di hadapan Seven Eleven, lantas keluar dan membeli sesuatu. Wan Aini hanya menunggu di dalam kereta. Tidak lama kemudia dia kembali dengan sedikit barangan yang di isi di dalam plastik.
   “Apa ni?” Wan Aini segera menepis tangan Farief yang cuba meletakkan sesuatu di bahagian hidungnya.
   Syhhh...” Farief merapati wanita itu lantas melekapkan perlahan ais  yang dibalut dengan sehelai satu tangan. Wan Aini menolak perlahan tangan lelaki itu dan memalingkan wajahnya ke arah lain.
   “Wan, bagi saya peluang please.”
   “Saya boleh buat sendiri, dan tolong panggil saya kakak atau makcik, saya tua dari awak.” Wan Aini segera mengambil ais tersebut dari tangan Farief. Farief menghela nafas panjang dan kembali memandu ke kolej tempat Orked belajar.


SUASANA cukup dingin, seringkali perbualan yang dimulakan oleh Farief langsung tidak dijawab oleh Wan Aini. Ternyata lelaki itu masih bijak meletakkan dirinya di situasi yang sewajarnya. Dia membiarkan Wan Aini melayani perasaannya tanpa sebarang gangguan.
Kau mekar dihati ku
Umpama sekuntum bunga
Dipadang pasir
Ku adalah musafir dahaga
Seteguk...kehausan cinta mu
Di dataran..kering kontang
Tanpa ada penghuni asing
Namun kau bunga ku
Tetap mekar dijambangan...
Cukup perlahan Farief melagukannya, namun ia cukup untuk sampai ke telinga Wan Aini. Wanita itu tetap berdiam dan terus berdiam.

Saturday, September 27, 2014

Bukan hanya kita



Bab 4











               
         ORKED, nanti ambil kat mak slip saman tu bagi uncle selesaikan.” Uncle Farief cukup tegas, aku angguk kepala. Mak hanya berdiam, sikit pun mak tidak menyahut malah mak juga tidak menolak. Kami segera beredar sejurus kemudian.
   Mak memandu dengan kelajuan sederhana, tapi aku tahu ada perkara yang tidak menyenangkan hati mak. Kami singgah mengambil pak usu yang telah dibenarkan keluar dari hospital. Mak ceria berbual dengan pak usu, namun tidak dengan aku. Haila, apa agaknya kesalahan aku kali ini.
   “Kata kena saman, dah bayar ke belum?” Mak geleng kepala.
   “Mintak tolong Farieflah.”
   “Tak baik macam tu.” Mak masih tenang.
   “Tak pelah yong, bukan rezeki kita. Yong bayar saman tu, nanti acu cover belanja rumah.” Mak diam dan tenang memandu.
   “Orked dah bagi uncle Farief slip saman tu.” Aku menyampuk.
   “Kenapa panggil uncle, Farief tu kan muda lagi.” Pak usu menegur ku.
   “Dia yang suruh panggil uncle.” Aku mempertahankan diri. Pak usu jeling mak, lantas masing-masing berdiam.


MALAM itu suasana terasa ‘panas’, semua akan rasa panas bila mak berhenti bercakap. Aku hanya mampu bertukar pandangan dengan pak usu. Aku beredar kerana tidak ingin terlibat dengan konflik.
   “Bagilah dia peluang yong...” Suara pak usu kedengaran mendatar.
   “Kau ni dah kenapa dik, yong tak sukalah kau campur urusan peribadi yong.”
   “Bukan nak campur yong, Orked dah cukup dewasa, kami pun dah cukup ‘besar’. Sekarang yong pikir tentang yong pulak, dia ikhlas yong.”
   “Ikhlas pungkoq hang!” Mak sudah mula tinggi suara.
   “Kami tak nak yong sunyi bila kami menikah nanti. Kami pun tak nak yong tinggai sendiri bila Orked dah mula kerja di bandar atau diapun menikah. Sekurang-kurangnya yong ada kawan.” Pak usu menyedut rokoknya dalam-dalam lalu menghembusnya perlahan. Aku terus menelinga hendak tahu butir cerita.
   Hang nak yong menikah dengan budak baya hang. Biaq satu dunia mengutuk mengata.”
   “Ya Allah, kenapa cetek sangat fikiran kakak aku ni!” Pak usu pegang kepalanya sendiri, bengang dengan mak.
   “Kita bukan mintak beras nasi kat orang yong. Pedulikan depa bercakap, yang menanggung susah senang ni kita. Bertahun-tahun dia tunggu, bertahun-tahun dia bertahan.  Sampai bila yong, tak cukup ikhlas lagi ke?”  Siapa yang pak usu maksudkan?, mak ada skandal dengan siapa pula?. Kenapa aku tidak tahu? Tiba-tiba hati aku berdebar kencang!. 
   “Hello Jai, hang tahu tak umuq yong dengan dia beza sampai tujuh tahun. Time yong diperanakkan  dia masih lagi di loh mahfuz. Hang ni biaq sungguh! Kalau hang ni pun berkenan pompuan tua, kompom yong tak bagi! Keputusan hakim adalah muktamad, sebarang surat menyurat tidak akan dilayan!”
Pak usu menghela nafas sedalam-dalamnya dan melepaskannya dengan deras.
   “Kalau yong tak menikah, sampai tualah kami pun tak menikah.” Pak usu tiba-tiba menetapkan keputusannya.
   “Pasaipa hang tak mau menikah, nikah tu sunah rasul. Hang nak ‘esok’ mati, hang last sekali kena hisab?”
   Pak usu mengeleng-ngelengkan kepala melihat gelagat mak, sejurus kemudian dia keluar lalu menghidupkan motorsikal Kipsnya. Tidak lama kemudian, bunyi kenderaannya kedengaran semakin menjauh.


AKU tidak faham topik perbualan yang menyebabkan pak usu berselisih faham dengan mak. Muka mak masam dan tidak lama kemudian aku mula mendengar kelentang kelentung mak ‘bertukang’ di dapur. Perang saudara berlaku lagi setelah sekian lama gencatan senjata bertahan. Kalau mak marah dia akan berdiam dan terus menerus melakukan kerja-kerja rumah sampai dia penat. Mujurlah malam, kalau siang mak akan menyapu halaman rumah sampai benar-benar bersih atau menebas kebun di belakang rumah. Aku malas hendak menyaksikan perang saudara yang pastinya akan reda sebaik sahaja pak usu pulang kelak. Ini bukanlah kali pertama, carik-carik bulu ayam, kelak akan bercantum jua.


MAK tenang merenung aku yang hendak pulang ke kolej. Aku tahu mak sebak setiap kali melepaskan aku pergi, sudah hampir tamat pengajian, beginilah gelagat mak apabila masa cuti semester aku berakhir. Aku juga sedih meninggalkan mak sendirian, sebenarnya dengan pak usu. Tetapi aku kenal sangat pak usu, dia bukan selalu ada di rumah. Mak menghantar aku sehingga ke stesen ETS, dan seperti biasa mak tidak banyak cakap kalau dia tidak tenteram. Kami duduk sementara menunggu ETS menuju ke selatan sampai.
   Tiba-tiba mata aku bagaikan ternampak seseorang, bukan ternampak namun memang betul dia. Lelaki itu menghampiri kami dengan tenang. Dia senyum, dan aku membalas senyuman itu. Mak tekun melayan novelnya tanpa menoleh langsung kepada lelaki itu. Entah bila mak pegang novel aku pun tidak pasti kerana tadi aku tidak nampak pula novel tersebut.
   Uncle Farief duduk di sebelah mak. Berderau darah ku, lain macam pula rasanya. Mak berinjak sedikit menjauh. Uncle Farief ambil novel dari tangan mak, phergh! Lafazkan kalimah cinta mu~ Siti Rosmizah.  Baru aku perasan tajuk novel itu memang tak boleh blah, sudahlah tebalnya setaraf bantal! Aku telan air liur bertalu-talu melihat ‘keberanian’ uncle Farief terhadap mak. Maknanya mak dengan uncle Farief memang kenal sebelum ini? Kenapa aku tidak tahu?
   “Tiket pukul berapa?”
   “3.40”  
   “Awal lagi ni, kita minum dulu.” Aku pandang wajah mak, mengharap sangat mak akan menganggukkan kepala. Tetapi mak buat ‘bodoh’ sahaja berpura-pura memanjang-manjangkan leher melihat sekeliling. Aku bagi isyarat agar mak bersetuju, namun mak terus buat-buat tidak faham.
   Uncle Farief menghela nafas panjang, ada mata-mata yang mula memandang ke arah kami. Aku tidak selesa, uncle Farief hanya mendiamkan diri dan memain-mainkan kunci keretanya.
   “Kita minum jom.” Tiba-tiba aku rasa nada suara uncle Farief jadi pelik tatkala mengajak mak minum. Aku pula diserbu rasa pelik dan perlahan-lahan rasa itu meresap jauh ke dasar hati ku. Aku tidak suka dengan cara uncle Farief bercakap dengan mak dan aku juga tidak suka bila mak menjadi terlalu ‘dingin’ dengan uncle Farief. Namun aku lebih benci melihat cara uncle Farief memandang mak. Ia buat aku rasa bagaikan kena tikam dengan pedang samurai kudung!



MAK mengalah, kami masuk ke kereta uncle Farief. Aku rasa gembira sangat dan kegembiraan itu berganda bila mak memilih tempat duduk belakang, jadi aku akan duduk di sebelah uncle Farief, takkan kami hendak ‘mendriver’kan dia pulakan?
                Kami singgah untuk minum petang di sebuah kedai makan yang terbuka. Tidak sangka pula hari ini agak ramai pula pelanggan dan aku tahu mak tidak selesa dengan keadaan ini. Uncle memesan mi rebus dan aku juga memilih menu makanan yang sama. Namun mak hanya memesan minuman sahaja.
   Mak kelihatan gelisah apabila pesanan kami agak lewat sampai. Aku melihat uncle Farief bersahaja makan dengan berselera. Entah kerana tekak aku yang tidak cerewet atau kerana makan bersama uncle Farief yang kacak ini menyebabkan segala-galanya terasa begitu enak. Uncle Farief duduk berhadapan dengan mak, sedangkan aku duduk bersebelahan dengannya.
   Sejak mengenali uncle Farief, aku mulai terasa diriku diserang oleh penyakit ‘kurap-kurap cinta’, makin digaru semakin sedap terasa.


AKU bukanlah boleh digolongkan dalam kelompok perempuan miang, namun berada bersebelahan dengan uncle Farief membuatkan aku rasakan kehidupan aku begitu indah. Biarpun dia berusia hampir 12 tahun lebih tua dari ku, namun penampilannya langsung tidak menampakkan jarak usia yang ketara antara kami. Tambahan pula aku memang suka lelaki matang dan kacak sepertinya.
   Plop! Meja kami dilanggar dengan agak kuat oleh tukang bawa air yang kelihatan kelam kabut menghantar air minuman yang dipesan oleh pelanggan.
   “Auww...! mak menjerit kecil. Teh panas tertumpah di tangannya! Mak terus bangun, uncle Farief juga bangun. Tukang bawa air itu panik melihat tangan mak merah terkena air panas. Tanpa memohon maaf dia terus melarikan diri ke ruang dapur. Sungguh kurang ajar! Uncle Farief terus memanggil pelayan yang mengambil pesanan dan aku nampak wajahnya ‘ketat’.
   “Sudahlah tu, sikit je ni.” Mak cuba menenangkan uncle Farief.
   “Bukan soal banyak sikit, tapi sikap.”
   “Ini bukan balai, jangan nak malukan saya.” halkum uncle Farief turun naik tatkala melihat ketegasan mak. Dia menghela nafas panjang, lalu terus kembali ke kereta dan mengambil sesuatu. Sejurus kemudian dia kembali semula.
   “Sapu minyak.” Mak menyambut minyak gamat dari tangan uncle Farief dan menyapukan sedikit minyak ke tangannya. Aku menghela nafas panjang kelegaan.


MAK melihat jam, tiba-tiba wajahnya berubah.
   “Orked! Dah lewat!” Aku pula tengok jam pada handphone.
   “Ya Allah!” Aku panik, masa tinggal sepuluh minit sahaja sebelum ETS sampai, dan biasanya ETS akan sampai awal beberapa minit. Uncle Farief segera memanggil pelayan untuk membayar makanan kami.
   Memang sengal tahap kuda laut, tukang kira sengaja melambat-lambatkan dirinya untuk sampai ke meja kami. Boleh pula dia bergurau-gurau dan bertepuk tampar sesama mereka dan lambat-lambat pula datang melenggang ke meja kami. Aku rasa terdesak bila masa semakin suntuk.
   Uncle Farief tenang memandu semula ke stesen, dan sebaik sahaja dia berhenti aku segera menerpa keluar dari kereta menuju ke stesen ETS. Bagaikan sebuah filem aksi, aku berlari selaju-lajunya melawan masa yang semakin mendesak. Pengangkutan awam yang berwarna kuning itu begitu angkuh menghampiri hentian. Aku pula sedang mengira saat-saat untuk sampai mendahului jentera mengangkut yang sophisticated itu.
   “Orked beg!”suara mak memecah gegendang telinga ku! Aku segera menoleh namun segalanya telah terlewat, pintu ETS telah pun tertutup rapat dan kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik ini sedang merentas alam menuju ke destinasinya.
   Aku ingin meraung semahu-mahunya. Bagaimana harus aku berpatah semula untuk mengambil beg aku. Takkan aku kena pulang sehelai sepinggang ke kolej dan bagaimana pula dengan tugasan-tugasan aku yang akan memberikan tambahan carry mark untuk peperiksaan kelak. Laptop aku! Ya laptop aku! bagaimana aku harus menyiapkan assigment aku tanpa laptop! Aku rasa bagaikan mahu melorotkan diri di dinding ETS ini, namun perlahan-lahan aku melangkah juga menuju ke tempat duduk.


AKU bukan prejudis. Namun aku cukup tidak senang dengan perhatian uncle Farief terhadap mak. Aku juga sedar, berhadapan dengan uncle Farief, mak menjadi tegas tidak bertempat. Hilang segala lawak gila-gilanya seolah-olah dia cuba mencipta permusuhan pula dengan uncle Farief. Namun sekarang bukan masa untuk berjiwang-jiwang, beg aku! Setitis... dua titis... air mata ku mengalir.
Tet! Aku melihat inbox. Mujurlah benda alah yang satu ini tidak tertinggal.
   ‘Mak hantarkan beg ke kolej, terus je jangan singgah mana-mana.’  Aku hela nafas panjang sambil mengesat air mata. Sanggup mak turun ke kolej semata-mata untuk menghantar beg ku. Aku hela nafas panjang...
   “Kesian mak...”