Saturday, December 21, 2013

Bodyguard From Taiping-Bab 1



Bab 1





Aku meredah kegelapan malam ini dengan rasa yang berbaur. Sesekali aku bagaikan hendak menangis, namun aku tetap bertahan. Setelah perbincangan tidak dapat berjalan seperti yang aku harapkan, maka aku terpaksa mengambil langkas drastik  ini. Siapa yang tidak berat hati meninggalkan insan yang tersayang, siapa yang tidak berasa sebak bila terpaksa mengambil keputusan yang pasti akan menghancurkan dua keping hati sehingga retak seribu. Namun aku terpaksa, demi sebuah pendirian dan masa depan aku sendiri.



Pertama kali dalam hidup, aku berdepan dengan kemelut yang tidak mampu aku tangani dengan rasional akal.
"Rock tak nak bah, Rock masih muda lagi. Rock nak enjoy bah nak cari kerja."
"Rock! Rock! Abah boh nama elok-elok hang soh panggei rock. Gheja apa Kiah? Hang tu SPM pun cukup-cukup makan , menikah ja kan senang."
"Rock baru nak masuk dua puluh tahun bah, bagilah peluang Rock nak merasai pengalaman macam anak remaja yang lain, bagi peluang Rock kerja dan bantu mak ngan abah dengan hasil titik peluh Rock."
"Banyak lah hang punya remaja, abah dan mak dah setuju nak terima pinangan haji Lukhman, dorang tu dah sedia nak hantar cincin hujung minggu ni, hang bakal jadi tunang orang Kiah, sudah-sudahlah jadi macam budak jantan."
"Pak haji ke bah?, Abah ni agak-agaklah bah." Syarifah Aulia Rukiah tepuk dahi berkali-kali macam wanita india hilang suami sambil menjeling ke arah ayahnya. Berbagai perasaan  berbaur di benaknya. Kalau benarpun hendak mencarikan dia pasangan hidup, biarlah dengan pasangan yang bersesuaian dengan usianya yang baru mencecah dua puluh tahun.  Ini dengan lelaki bertaraf pak haji, agaknya betullah kata orang tua-tua, kalau selalu menyanyi di dapur akan dapat suami tua. Syarifah Rukiah tidak sanggup hendak berkahwin lelaki tua, apatah lagi lelaki yang selayaknya menjadi datuk atau ayah kepadanya.  
"Rock tak setuju bah, Rock tak nak kahwin!" Syarifah Rukiah membantah.
"Hang jangan nak malukan abah Kiah, abah dah setuju dengan keluarga haji tu, lagipun apa lagi yang hang nak lagi, jantan tu dah dapat pangkat dato, kaya pulak tu. Hang nanti basuh kaki ja masuk rumah, hidup  hang senang lenang."
     " Rock tetap tak setuju bah, Rock tak nak kahwin. Apa nak jadi-jadilah." Syarifah Rukiah membentak lantas meninggalkan ayahnya yang terpinga-pinga sakit hati.
" Huh, budak ni memang melampau, ni mesti bagi menikah dulu baru kurang sikit ketegaqnya. Encik  Syed Izhar hanya mampu mengeleng-ngelengkan kepala melihat kedegilan anak perempuan bongsunya yang seorang ini. Sudahlah lagaknya bagaikan wanita tomboy, sikap lepas lakunya juga sering membuatkan dia dan isterinya hilang akal menangani karenah anak bongsu mereka.



Aku puas bergolek-golek di atas katil, memujuk diri untuk tidur. Namun puas mencuba, sesaat pun aku tidak mampu terlena. Bertunang dengan orang tua? Bertaraf pak haji pula tu…. Aduh! Mana aku hendak letak muka ni?. Mesti semua kawan-kawan akan mentertawakan aku. Dulu akulah juara pertandingan talentime di sekolah. Aku juga atlit olahraga tersohor sehingga mewakili negeri dalam SUKMA. Siapa tidak kenal aku, walaupun aku tidaklah terlalu cantik, tapi aura nama Syarifah tu tetap ada kerana abah berketurunan arab. Entah generasi ke berapa aku pun tidak tahu, apa yang penting, ayah amat di hormati di kampung ku.



           

Masa terus berlalu, aku sempat merasai senak dan sebak yang tidak tertahan melihat persediaan yang dilakukan oleh mak dan abah. Di sana sini orang sibuk bertanya tentang bakal suami ku. Paling tidak tahan ada kawan-kawan yang terang-terang mempersendakan aku yang akan berkahwin dengan pak haji. Malah lebih menyakitkan hati bila aku berkali-kali diejek kerana gemar menyanyi di dapur. Saat majlis pertunangan aku akan berlangsung, aku hanya berteleku di meja solek dengan hati yang berbelah bagi. Semua sanak saudara begitu sibuk diluar, aku pula disiapkan oleh mak andam. Huh! baru bertunang sudah mak andam bagai, macam hendak menikah sahaja.
            “Ya, memang kamu akan menikah terus Kiah, nikah gantung kata orang. Nanti seminggu dua lagi baru buat kenduri besaq. Kita tak sempat nak buat persediaan sebab masa suntuk sangat. Abah hang pun dok kalut dengan urusan gheja, tak sempat nak cuti panjang buat persediaan.” Tiba-tiba sahaja aku rasa dunia aku gelap gelita. Seolah-olah kiamat telah meragut seluruh usia remaja ku. Bayangan lelaki tua rongak segera bermain-main di layar fikiran. Entah bila, tahu-tahu sahaja aku sedar, aku sedang berada di atas katil dengan pakaian pengantin. Semua orang mengerumuni aku yang pitam tiba-tiba.



            “Dah sedar, alhamdulilah. Seorang lelaki berusia lima puluhan mungkin juga tua sedikit daripada abah ku sedang duduk di atas katil bersebelahan dengan ku. Kakinya terjuntai ke bawah. Dia menyapukan air kosong ke wajah ku dengan lembut. Memang aku berasa sangat lega, namun tiba-tiba aku tersedar…
            “Saya dah kahwin ke?” Lelaki yang selayaknya aku panggil ayah itu tersenyum dan mengangguk perlahan.
“ Alhamdulilah.”  Dia menjawab sepatah. Biarpun aku dapat melihat garis ketampanannya dan merasai aura ketenangan di wajahnya namun aku tetap hilang kewarasan sekali lagi kerana aku pitam. Pitam melihat suami yang lebih tua dari abah ku sendiri.



Puas bertahan, akhirnya sejak aku berusia lima belas tahun, inilah pertama kali aku menangis. Aku gagal bertahan dari mengalirkan air mata. Mujurlah deru bunyi keretapi menenggelamkan esak ku, namun aku terus membiarkan air mata mengalir laju. Dari Taiping, aku bergerak ke Kuala Lumpur, mencari sedikit ketenangan. Mencari bekalan pengalaman untuk menjadi seorang wanita. Aku ingin berkerja, dan aku juga lari dari rumah sebelum sempat berkenalan rapat dengan suami ku, seorang pak haji. Aku tahu pasti mak menangis sampai guling-guling sebab akulah satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Aku juga tahu pasti abah menung sana-sini dan menyesal kerana mengahwinkan aku. Tetapi aku amat pasti, dua orang abang ku akan kemana-mana sahaja mencari aku sehingga berjumpa. Maka, aku harus bersedia dan bersembunyi. Kerja apa yang boleh dilakukan secara bersembunyi?. Agak-agaknya kalau jadi pembantu rumah boleh kot. Tetapi aku tidak pandai masak. Takkan hendak jadi pengawal keselamatan?. Tetapi kalau pengawal keselamatan di rumah orang kaya boleh agaknya sebab aku memang pandai seni mempertahankan diri. Bukan susahpun jadi ‘jaga’, buka pagar dan tutup pagar sahaja agaknya.  Aku terlelap setelah letih berfikir.


4 comments:

  1. Adeiiii....kelakor....hikhikhik
    Mengapa kau lari kiah? Mau jadi kiah propa ya? Muahahahahha

    ReplyDelete
  2. adesss..dh kawin awat hang laghi kiah wei....

    ReplyDelete
  3. sgt rock..hokey...hahaha pak haji ka..agak2 la adoiii

    ReplyDelete
  4. Hahahaha lawak boleh laaa esok pi cari kat kedai..... aaarrrr dah adakan kat kedai buku???? @-@

    ReplyDelete