Bab
1
VROMM! Vromm... vrommm! Throttle dipulas-pulasnya,
aku gigih menyelinap di celahan kenderaan berat ketika jalan sesak. Sesekali telinga
ku menangkap bunyi hon memberikan amaran. Ada aku kisah, aku pun pembayar cukai
jalan juga dan tidak ada undang-undang negara di dunia ini yang menyatakan
jalan raya itu hak ekslusif sesiapa pun. Cara aku menunggang mungkin sedikit merbahaya, tapi aku pun tahu, nyawa aku bukan
ada spare di dalam peti sejuk. Aku pun tahu untuk takut mati.
Poooonnn! Kurang ajar punya cekadak.
Harap badan saja besar, sama naik pemandu dengan kenderaan tidak berdosa tu.
Potong ‘makan jalan’! Hawau punya
kontena, aku sumpah jadi peti sejuk baru tau. Pemandu itu bagaikan sengaja
memotong terlalu hampir dengan ku sampaikan ‘bergegar’ motorsikal yang aku
tunggang.
Ponnnnnn!
Sebuah kereta lagi sengaja mencabar aku. Aku segera menoleh, lantas mengangkat cermin
mata hitam ku. Mata ku bertemu dengan mata pemandu CRV yang turut menurunkan
cermin hitamnya.
“Huh! mamat K-pop, memang tak boleh blah lah!” Dia kelihatan serius mengajak
dia bertanding laju. Aku betulkan semula cermin mata ku, lantas tubuh aku
rendahkan sedikit. Dengan satu tarikan clutch
aku segera menukar gear rendah. Perahhhhhhhh! Tanpa belas kasihan aku memotong
CRV berwarna hitam metalik itu.
“Huh berapa laju dia ‘lari’ ni?” aku
bertanya kepada diri sendiri. Kereta selaju itu sudah pasti amat merbahaya
kepada kenderaan-kenderaan ringan yang
lain. Aku dapat mengagak kelajuannya pasti tidak kurang dari 150/kmj. Jalan
sesak kot! Aku himpit keretanya itu tanpa belas kasihan. Kalau aku mati kerana
kemalangan dia sebabkan olehnya, dia pasti akan susah seumur hidup.
Aku memintas CRV itu sambil bagi
isyarat meminta pemandu itu ke tepi. Dia masih menunjukkan tanda-tanda tidak mahu
mengalah. Aku malas hendak main kasar, namun kalau dia tidak berhenti aku pun
tidak akan teragak-agak hendak ‘main kasar’.
Sengaja aku biarkan dia rapat di
belakang tanpa memberi peluang untuk dia memotong. Dia pula bagaikan tidak mahu
mengalah dan enggan ke tepi. Aku menghela nafas panjang, kalau begini terpaksalah
aku main kasar juga.
Nenongggg... nenongggggg aku
bunyikan alarm amaran. Kenderaan lain
mula memberikan laluan.
Sretttttt! Dia menekan brek
kecemasan dan ...
Bum! Kereta di belakang menghentam
CRV metaliknya. Aku berhenti lantas menongkat motorsikal. Dengan perasaan ‘macho
tidak kesian’ aku menghampiri CRV tersebut. Namun belum pun aku sampai...
“Woiii bawak keter serupo ponde!”
Aku memandang ke hadapan, seorang mamat badan ketak-ketak dengan stereng lock menghampiri CRV tersebut.
“Pranggg!” Berkecai cermin belakang
CRV. Weiii dorang ingat aku ni
halimunan ke atau arca hiasan?
“Encik! Jangan guna undang-undang
rimba!” Aku berlagak tegas sambil meraba kedudukan pistol di pinggang. Bukan
untuk mengugut, tetapi bersedia andainya steering
lock tersebut bakal menghentam kepala aku.
“Polis
make rosuoh belako, hok dop bule
leseng demo bagi leseng, jadi gini lah! Bawak ketor seropu ponde!” Lelaki
itu nampak sangat tidak puas hati.
“Apa-apa hal bincang kat balailah
encik.” Aku panas melihat ‘angin pasang’ lelaki tersebut. Dia bagaikan hilang
akal, tiba-tiba sahaja menghentam semberono kereta CRV tersebut. Aku
benar-benar rasa tercabar, aku terus mendekatinya lantas ...
Haip!
Aku kilas tangannya ke belakang dan aku tekan tubuhnya rapat ke CRV. Dia
terbentur dan kaget dengan tindakan aku. Kalau kail panjang sejengkal, takkan
aku sanggup menunggang jentera berwarna putih ini melawan kesesakan lalu
lintas.
Dia cuba membalikkan diri, kudrat
aku tidak cukup gagah untuk menahan tubuh sasa lelaki ini. Habis fikir...
Klik! Aku kenakan gari ke tangannya,
sebelah di tangannya dan sebelah lagi pada pemegang pintu kereta CRV hitam
metalik itu.
“Puihhh polis gedebe!” aku kenyitkan
mata ke arahnya, lantas segera ke kereta Honda City milik lelaki tersebut.
Nombor pendaftaran aku catatkan lantas aku segera menghubungi cawangan trafik
tempat aku bertugas. Setelah maklumat disalurkan aku menghampiri CRV hitam
metalik tersebut.
Aku mengetuk cerminnya dengan kekura
tangan. Aku cukup yakin dan pasti, cermin hitam CRV tersebut tidak melepasi
piawaian Jabatan Pengangkutan Jalan.
“Encik, sila keluar dari kereta
encik.”
Diam! Langsung tiada tindak balas, jangankan
membuka pintu, cermin kereta pun tidak diturunkan. Aku ketuk lebih kuat lagi.
“Sila keluar dari kereta encik!” Aku
keraskan suara sambil mengetuk dengan lebih kuat lagi. Sementara itu, pemilik
Honda City membebel tidak berhenti-henti sampai aku naik rimas. Buruk betul
kalau lelaki membebel, harap badan sahaja ‘ketak-ketak’ tapi mulut macam Joyah
Sengal ( bukan nama sebenar).
Aku angkat tangan untuk mengetuk
lebih keras, namun tiba-tiba aku terhenti bila tidak semena-mena pemilik Honda
City yang bergari itu jatuh terlentang dengan tangan tergantung dipemegang
pintu CRV.
“Opocot anak itik makan berdiri!”
Bulat matanya terkejut bila tiba-tiba sahaja pemilik CRV itu menolak pintu
kereta. Aku senyum segaris...
“Oh melatah rupanya.” Aku cuba
mengawal senyum. Pintu CRV terbuka, namun dihadang oleh pemilik Honda City
tersebut.
“Encik sila keluar.” Aku mengeraskan
suara memberi arahan. Perlahan-lahan seorang lelaki keluar sambil membetulkan
kolar bajunya. Dia berdiri sambil mengepit lutut.
Aku pandang wajahnya atas bawah
silih berganti. Lelaki itu nampak terdesak dengan wajah merah bagaikan ingin
menangis. Aku segera mengeluarkan slip saman...
“Kak, tolonglah kak, kak samanlah
saya berapa pun tapi lepaskan saya cepat. Kawan saya sakit nak bersalin kat
rumah tu, suaminya out station.” Bersungguh-sungguh
lelaki yang tidak begitu lelaki itu menerangkan dalam suara huskynya.
“Kawan ke isteri?”
“Betul kak, kawan...” Dia buat
isyarat angkat tangan bersumpah. Aku mula cair, pertamanya tentulah aku kasihan
kereta lelaki itu yang aku sifatkan telah ‘cedera parah’ dihentam steering lock, seperkara lagi bila
lelaki itu kata kawannya hendak bersalin. Kalau aku lengah-lengahkan mungkin
memudaratkan kawan lelaki itu. Silap-silap dia bersalin berseorangan di rumah.
“Betul awak cakap ni?”
“Betul kak, sumpah!” Suka jiwa dia
sahaja memanggil aku kak, bila pula mak dia beranakkan aku? Dia angkat tangan
lagi dan kali ini lebih tinggi. Kakinya semakin terkepit. Naik geli pula aku
melihat kesotongannya. Wajahnya merah padam dipanah matahari. Bibirnya kemerah-merahan
dan paling aku tidak sanggup melihat hidungnya yang terpacak mancung dan
menguncup di ‘pucuk’nya. Sumpah! Kalau dibandingkan dengan hidung aku yang
kembang ini, ia bagai kicap dengan nasi. Walaupun di pinggan yang sama namun ia
amat berbeza.
Tidak lama kemudian sebuah kereta
polis sampai. Setelah berbincang ringkas, tugas menyelesaikan kes kesalahan
lalu lintas ini diambil alih oleh rakan sekerja ku.
VISOR segera aku turunkan.
Nenongg... nenonggggggg aku memulas throttle sehingga hampir habis. Meter
rpm terus menegak dan akhirnya condong ke kanan, begitu juga meter had laju.
Tanpa perlu menoleh, aku menunggang bagaikan ribut. Dia terkepit di belakang ku
mengecutkan diri sekecut-kecutnya agar muat berhimpit di jentera putih
berjenama Honda ini. Perit pinggang ku dicengkam oleh mat sotong seorang ini.
Biarlah, ini masa dia. Mana tahu kalau aku susah kelak, akan ada mana-mana
hamba Allah yang akan datang menolong pula.
Kami terpakir di hadapan sebuah
rumah agam tersergam. Dia terkocoh-kocoh menolak pintu pagar yang tidak
berkunci.
“Yatt! Oh Yatt! Awak kat mana?”
Wajah lelaki itu sendat berkarat, bajunya lenjun berpeluh.
“Arie... tolong aku Rie, aku dah tak
tahan ni.” Suara wanita mengerang kedengaran dari dari sebuah bilik yang
terbuka. Lelaki itu terus menerpa.
“Ya Allah Yat...!” Pot pet pot pet
lelaki itu membebel, sambil cuba memapah wanita yang dipanggil Yat itu.
“Saya panggilkan ambulan.” Aku tidak
perlu menunggu persetujuan, terus sahaja aku membuat panggilan melalui radio
amatur kami. Aku menghampiri wanita yang sudah pucat lesi dan berpeluh menahan
sakit ini.
“Ariie aku dah tak tahan Rieeee.”
Suara wanita itu terdesak bagaikan meneran. Wanita itu mengeleng-ngeleng tanda
dia tidak mampu lagi menahan gesaan bayinya untuk melihat dunia. Aku tarik
nafas sedalam-dalamnya dan cuba bertenang.
“Baringkan dia dulu, letak bantal
tinggi sedikit dari aras kaki.” Aku memulakan teori ku, mujurlah ilmu paramedik
ketika di universiti dahulu sedikit sebanyak masih bersisa dalam kepala aku
yang semakin berkarat ini.
“Yat... tenang Yat, aku ada ni.”
Lelaki itu memujuk dan wanita itu mula berbaring, lututnya dibengkokkan dalam
posisi hendak bersalin. Aku terpaksa memastikan keadaan wanita itu selamat
sebelum ketibaan ambulan. Sekilas mata aku bertemu dengan lelaki itu, dia
nampak yakin untuk melakukannya. Gaun wanita itu aku selak sehingga menampakkan
lutut dan pahanya yang putih mulus.
Lelaki itu cuba berpaling, namun pada masa yang sama tangannya digapai
oleh wanita itu dan mereka saling menggenggam. Wanita itu menghela nafas lalu
meneran kuat. Serentak dengan itu lelaki itu juga ikut meneran dengan lebih
kuat lagi.
Aku menelan liur kegugupan tatkala
melihat keajaiban ciptaan Allah. Serviks wanita itu terbuka dan kelihatan
mengembang. Aku pandang wajah lelaki itu yang seakan-akan cuba melihat ke situ.
Aku geleng dan dia faham.
“Arghhhh...” menggigil-gigil wanita
tanpa sebarang epidural itu meneruskan perjuangannya. Lelaki itu juga ikut
meneran dengan lebih kuat lagi. Mata aku tertancap kepada objek hitam yang mula
menonjol dipermukaan laluannya.
“Kuat lagi puan, cuba lagi.”Aku
memberikan galakan. Lengan lelaki itu
dicengkam oleh wanita tersebut sehingga ketara meninggalkan garis-garis kesan
calar. Namun lelaki itu tetap setia menjadi papan cakar wanita tersebut tanpa
sedikitpun keluhan.
“Arghhhhhhh...!” Sayu dan penuh
penyerahan, sekali lagi wanita itu meneran lebih kuat dan lebih lama. Aku
menelan air liur bertalu-talu lantas aku cekup kepala bayi yang menonjol
diikuti oleh tubuh mulusnya.
Tangisan syahdu memecah hening
petang tersebut, bayi yang masih bertali pusat itu aku serahkan kepada lelaki
tersebut lalu dia menyambutnya lantas dibalutkan dengan bajunya sendiri.
Setitis... dua titis... tiga titis aku melihat genangan air mata lelaki itu jatuh.
Wanita itu turut mengalirkan air mata. Pada masa yang sama, mata aku tunak
memandang tali pusat yang masih belum keluar sepenuhnya dari rahim wanita itu.
Aku tarik perlahan-lahan tali itu
dan akhirnya lahirlah seketul benda berwarna merah hati mengakhiri tali pusat
bayi itu. Sejurus kemudian siren ambulan mengakhiri resah ku, untuk diapakan
kah daging nan seketul yang bersambung dengan tali pusat ini?