Monday, March 9, 2015

SAYANG AWAK SENDAT-SENDAT(BAB 1)



Bab 1


     VROMM! Vromm... vrommm! Throttle dipulas-pulasnya, aku gigih menyelinap di celahan kenderaan berat ketika jalan sesak. Sesekali telinga ku menangkap bunyi hon memberikan amaran. Ada aku kisah, aku pun pembayar cukai jalan juga dan tidak ada undang-undang negara di dunia ini yang menyatakan jalan raya itu hak ekslusif sesiapa pun. Cara aku menunggang mungkin sedikit  merbahaya, tapi aku pun tahu, nyawa aku bukan ada spare di dalam peti sejuk. Aku pun tahu untuk takut mati.

            Poooonnn! Kurang ajar punya cekadak. Harap badan saja besar, sama naik pemandu dengan kenderaan tidak berdosa tu. Potong ‘makan jalan’! Hawau punya kontena, aku sumpah jadi peti sejuk baru tau. Pemandu itu bagaikan sengaja memotong terlalu hampir dengan ku sampaikan ‘bergegar’ motorsikal yang aku tunggang.

            Ponnnnnn! Sebuah kereta lagi sengaja mencabar aku. Aku segera menoleh, lantas mengangkat cermin mata hitam ku. Mata ku bertemu dengan mata pemandu CRV yang turut menurunkan cermin hitamnya.

            “Huh! mamat K-pop, memang tak boleh blah lah!” Dia kelihatan serius mengajak dia bertanding laju. Aku betulkan semula cermin mata ku, lantas tubuh aku rendahkan sedikit. Dengan satu tarikan clutch aku segera menukar gear rendah. Perahhhhhhhh! Tanpa belas kasihan aku memotong CRV berwarna hitam metalik itu.

            “Huh berapa laju dia ‘lari’ ni?” aku bertanya kepada diri sendiri. Kereta selaju itu sudah pasti amat merbahaya kepada kenderaan-kenderaan  ringan yang lain. Aku dapat mengagak kelajuannya pasti tidak kurang dari 150/kmj. Jalan sesak kot! Aku himpit keretanya itu tanpa belas kasihan. Kalau aku mati kerana kemalangan dia sebabkan olehnya, dia pasti akan susah seumur hidup.

            Aku memintas CRV itu sambil bagi isyarat meminta pemandu itu ke tepi. Dia masih menunjukkan tanda-tanda tidak mahu mengalah. Aku malas hendak main kasar, namun kalau dia tidak berhenti aku pun tidak akan teragak-agak hendak ‘main kasar’.

            Sengaja aku biarkan dia rapat di belakang tanpa memberi peluang untuk dia memotong. Dia pula bagaikan tidak mahu mengalah dan enggan ke tepi. Aku menghela nafas panjang, kalau begini terpaksalah aku main kasar juga.

            Nenongggg... nenongggggg aku bunyikan alarm amaran. Kenderaan lain mula memberikan laluan.

            Sretttttt! Dia menekan brek kecemasan dan ...

            Bum! Kereta di belakang menghentam CRV metaliknya. Aku berhenti lantas menongkat motorsikal. Dengan perasaan ‘macho tidak kesian’ aku menghampiri CRV tersebut. Namun belum pun aku sampai...

            “Woiii bawak keter serupo ponde!” Aku memandang ke hadapan, seorang mamat badan ketak-ketak dengan stereng lock menghampiri CRV tersebut.

            “Pranggg!” Berkecai cermin belakang CRV. Weiii dorang ingat aku ni halimunan ke atau arca hiasan?

            “Encik! Jangan guna undang-undang rimba!” Aku berlagak tegas sambil meraba kedudukan pistol di pinggang. Bukan untuk mengugut, tetapi bersedia andainya steering lock tersebut bakal menghentam kepala aku.

            Polis make rosuoh belako, hok dop bule leseng demo bagi leseng, jadi gini lah! Bawak ketor seropu ponde!” Lelaki itu nampak sangat tidak puas hati.
            “Apa-apa hal bincang kat balailah encik.” Aku panas melihat ‘angin pasang’ lelaki tersebut. Dia bagaikan hilang akal, tiba-tiba sahaja menghentam semberono kereta CRV tersebut. Aku benar-benar rasa tercabar, aku terus mendekatinya lantas ...
            Haip! Aku kilas tangannya ke belakang dan aku tekan tubuhnya rapat ke CRV. Dia terbentur dan kaget dengan tindakan aku. Kalau kail panjang sejengkal, takkan aku sanggup menunggang jentera berwarna putih ini melawan kesesakan lalu lintas.
            Dia cuba membalikkan diri, kudrat aku tidak cukup gagah untuk menahan tubuh sasa lelaki ini.  Habis fikir...

            Klik! Aku kenakan gari ke tangannya, sebelah di tangannya dan sebelah lagi pada pemegang pintu kereta CRV hitam metalik itu.

            “Puihhh polis gedebe!” aku kenyitkan mata ke arahnya, lantas segera ke kereta Honda City milik lelaki tersebut. Nombor pendaftaran aku catatkan lantas aku segera menghubungi cawangan trafik tempat aku bertugas. Setelah maklumat disalurkan aku menghampiri CRV hitam metalik tersebut.

            Aku mengetuk cerminnya dengan kekura tangan. Aku cukup yakin dan pasti, cermin hitam CRV tersebut tidak melepasi piawaian Jabatan Pengangkutan Jalan.

            “Encik, sila keluar dari kereta encik.”

             Diam! Langsung tiada tindak balas, jangankan membuka pintu, cermin kereta pun tidak diturunkan. Aku ketuk lebih kuat lagi.

            “Sila keluar dari kereta encik!” Aku keraskan suara sambil mengetuk dengan lebih kuat lagi. Sementara itu, pemilik Honda City membebel tidak berhenti-henti sampai aku naik rimas. Buruk betul kalau lelaki membebel, harap badan sahaja ‘ketak-ketak’ tapi mulut macam Joyah Sengal ( bukan nama sebenar).

            Aku angkat tangan untuk mengetuk lebih keras, namun tiba-tiba aku terhenti bila tidak semena-mena pemilik Honda City yang bergari itu jatuh terlentang dengan tangan tergantung dipemegang pintu CRV.

            “Opocot anak itik makan berdiri!” Bulat matanya terkejut bila tiba-tiba sahaja pemilik CRV itu menolak pintu kereta. Aku senyum segaris...

            “Oh melatah rupanya.” Aku cuba mengawal senyum. Pintu CRV terbuka, namun dihadang oleh pemilik Honda City tersebut.

            “Encik sila keluar.” Aku mengeraskan suara memberi arahan. Perlahan-lahan seorang lelaki keluar sambil membetulkan kolar bajunya. Dia berdiri sambil mengepit lutut.

            Aku pandang wajahnya atas bawah silih berganti. Lelaki itu nampak terdesak dengan wajah merah bagaikan ingin menangis. Aku segera mengeluarkan slip saman...
            “Kak, tolonglah kak, kak samanlah saya berapa pun tapi lepaskan saya cepat. Kawan saya sakit nak bersalin kat rumah tu, suaminya out station.” Bersungguh-sungguh lelaki yang tidak begitu lelaki itu menerangkan dalam suara huskynya.

            “Kawan ke isteri?”

            “Betul kak, kawan...” Dia buat isyarat angkat tangan bersumpah. Aku mula cair, pertamanya tentulah aku kasihan kereta lelaki itu yang aku sifatkan telah ‘cedera parah’ dihentam steering lock, seperkara lagi bila lelaki itu kata kawannya hendak bersalin. Kalau aku lengah-lengahkan mungkin memudaratkan kawan lelaki itu. Silap-silap dia bersalin berseorangan di rumah.

            “Betul awak cakap ni?”

            “Betul kak, sumpah!” Suka jiwa dia sahaja memanggil aku kak, bila pula mak dia beranakkan aku? Dia angkat tangan lagi dan kali ini lebih tinggi. Kakinya semakin terkepit. Naik geli pula aku melihat kesotongannya. Wajahnya merah padam dipanah matahari. Bibirnya kemerah-merahan dan paling aku tidak sanggup melihat hidungnya yang terpacak mancung dan menguncup di ‘pucuk’nya. Sumpah! Kalau dibandingkan dengan hidung aku yang kembang ini, ia bagai kicap dengan nasi. Walaupun di pinggan yang sama namun ia amat berbeza.
            Tidak lama kemudian sebuah kereta polis sampai. Setelah berbincang ringkas, tugas menyelesaikan kes kesalahan lalu lintas ini diambil alih oleh rakan sekerja ku.
                       
           
VISOR segera aku turunkan.
            Nenongg... nenonggggggg aku memulas throttle sehingga hampir habis. Meter rpm terus menegak dan akhirnya condong ke kanan, begitu juga meter had laju. Tanpa perlu menoleh, aku menunggang bagaikan ribut. Dia terkepit di belakang ku mengecutkan diri sekecut-kecutnya agar muat berhimpit di jentera putih berjenama Honda ini. Perit pinggang ku dicengkam oleh mat sotong seorang ini. Biarlah, ini masa dia. Mana tahu kalau aku susah kelak, akan ada mana-mana hamba Allah yang akan datang menolong pula.
            Kami terpakir di hadapan sebuah rumah agam tersergam. Dia terkocoh-kocoh menolak pintu pagar yang tidak berkunci.
            “Yatt! Oh Yatt! Awak kat mana?” Wajah lelaki itu sendat berkarat, bajunya lenjun berpeluh.
            “Arie... tolong aku Rie, aku dah tak tahan ni.” Suara wanita mengerang kedengaran dari dari sebuah bilik yang terbuka. Lelaki itu terus menerpa.
            “Ya Allah Yat...!” Pot pet pot pet lelaki itu membebel, sambil cuba memapah wanita yang dipanggil Yat itu.
            “Saya panggilkan ambulan.” Aku tidak perlu menunggu persetujuan, terus sahaja aku membuat panggilan melalui radio amatur kami. Aku menghampiri wanita yang sudah pucat lesi dan berpeluh menahan sakit ini.
            “Ariie aku dah tak tahan Rieeee.” Suara wanita itu terdesak bagaikan meneran. Wanita itu mengeleng-ngeleng tanda dia tidak mampu lagi menahan gesaan bayinya untuk melihat dunia. Aku tarik nafas sedalam-dalamnya dan cuba bertenang.
            “Baringkan dia dulu, letak bantal tinggi sedikit dari aras kaki.” Aku memulakan teori ku, mujurlah ilmu paramedik ketika di universiti dahulu sedikit sebanyak masih bersisa dalam kepala aku yang semakin berkarat ini.
            “Yat... tenang Yat, aku ada ni.” Lelaki itu memujuk dan wanita itu mula berbaring, lututnya dibengkokkan dalam posisi hendak bersalin. Aku terpaksa memastikan keadaan wanita itu selamat sebelum ketibaan ambulan. Sekilas mata aku bertemu dengan lelaki itu, dia nampak yakin untuk melakukannya. Gaun wanita itu aku selak sehingga menampakkan lutut dan pahanya yang putih mulus.  Lelaki itu cuba berpaling, namun pada masa yang sama tangannya digapai oleh wanita itu dan mereka saling menggenggam. Wanita itu menghela nafas lalu meneran kuat. Serentak dengan itu lelaki itu juga ikut meneran dengan lebih kuat lagi.
            Aku menelan liur kegugupan tatkala melihat keajaiban ciptaan Allah. Serviks wanita itu terbuka dan kelihatan mengembang. Aku pandang wajah lelaki itu yang seakan-akan cuba melihat ke situ. Aku geleng dan dia faham.
            “Arghhhh...” menggigil-gigil wanita tanpa sebarang epidural itu meneruskan perjuangannya. Lelaki itu juga ikut meneran dengan lebih kuat lagi. Mata aku tertancap kepada objek hitam yang mula menonjol dipermukaan laluannya.
            “Kuat lagi puan, cuba lagi.”Aku memberikan galakan.  Lengan lelaki itu dicengkam oleh wanita tersebut sehingga ketara meninggalkan garis-garis kesan calar. Namun lelaki itu tetap setia menjadi papan cakar wanita tersebut tanpa sedikitpun keluhan.
            “Arghhhhhhh...!” Sayu dan penuh penyerahan, sekali lagi wanita itu meneran lebih kuat dan lebih lama. Aku menelan air liur bertalu-talu lantas aku cekup kepala bayi yang menonjol diikuti oleh tubuh mulusnya.
            Tangisan syahdu memecah hening petang tersebut, bayi yang masih bertali pusat itu aku serahkan kepada lelaki tersebut lalu dia menyambutnya lantas dibalutkan dengan bajunya sendiri. Setitis... dua titis... tiga titis aku melihat genangan air mata lelaki itu jatuh. Wanita itu turut mengalirkan air mata. Pada masa yang sama, mata aku tunak memandang tali pusat yang masih belum keluar sepenuhnya dari rahim wanita itu.
            Aku tarik perlahan-lahan tali itu dan akhirnya lahirlah seketul benda berwarna merah hati mengakhiri tali pusat bayi itu. Sejurus kemudian siren ambulan mengakhiri resah ku, untuk diapakan kah daging nan seketul yang bersambung dengan tali pusat ini?

11 comments:

  1. Owhhh..mula2 zack & arie kenal ajer dah jd mcm2.. hehe

    ReplyDelete
  2. Jadi bidan terjun si zack ye...
    Syahdunya arie...

    ReplyDelete
  3. Seda gak intro ni....congrats yatt..(nama sebenar)

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  5. Seda gak intro ni....congrats yatt..(nama sebenar)

    ReplyDelete
  6. Kak Suzi..awat byk kali post..ahaksss

    ReplyDelete
  7. Salam rakan penulisku,Teruskan usaha menghasilkan karya..semoga terus maju...jangan lupa juga lawat blog sya ya kat https://ceritaberemosi.blogspot.my/

    ReplyDelete