Bab 4
“ORKED,
nanti ambil kat mak slip saman tu
bagi uncle selesaikan.” Uncle Farief cukup tegas, aku angguk
kepala. Mak hanya berdiam, sikit pun mak tidak menyahut malah mak juga tidak
menolak. Kami segera beredar sejurus kemudian.
Mak memandu dengan kelajuan sederhana, tapi
aku tahu ada perkara yang tidak menyenangkan hati mak. Kami singgah mengambil
pak usu yang telah dibenarkan keluar dari hospital. Mak ceria berbual dengan
pak usu, namun tidak dengan aku. Haila,
apa agaknya kesalahan aku kali ini.
“Kata kena saman, dah bayar ke belum?” Mak
geleng kepala.
“Mintak tolong Farieflah.”
“Tak baik macam tu.” Mak masih tenang.
“Tak pelah yong, bukan rezeki kita. Yong
bayar saman tu, nanti acu cover
belanja rumah.” Mak diam dan tenang memandu.
“Orked dah bagi uncle Farief slip saman tu.” Aku menyampuk.
“Kenapa panggil uncle, Farief tu kan muda lagi.” Pak usu menegur ku.
“Dia yang suruh panggil uncle.” Aku mempertahankan diri. Pak usu jeling mak, lantas
masing-masing berdiam.
MALAM
itu suasana terasa ‘panas’, semua akan rasa panas bila mak berhenti bercakap.
Aku hanya mampu bertukar pandangan dengan pak usu. Aku beredar kerana tidak
ingin terlibat dengan konflik.
“Bagilah dia peluang yong...” Suara pak usu
kedengaran mendatar.
“Kau ni dah kenapa dik, yong tak sukalah kau
campur urusan peribadi yong.”
“Bukan nak campur yong, Orked dah cukup
dewasa, kami pun dah cukup ‘besar’. Sekarang yong pikir tentang yong pulak, dia
ikhlas yong.”
“Ikhlas pungkoq
hang!” Mak sudah mula tinggi suara.
“Kami tak nak yong sunyi bila kami menikah
nanti. Kami pun tak nak yong tinggai
sendiri bila Orked dah mula kerja di bandar atau diapun menikah.
Sekurang-kurangnya yong ada kawan.” Pak usu menyedut rokoknya dalam-dalam lalu
menghembusnya perlahan. Aku terus menelinga hendak tahu butir cerita.
“Hang
nak yong menikah dengan budak baya hang.
Biaq satu dunia mengutuk mengata.”
“Ya Allah, kenapa cetek sangat fikiran kakak
aku ni!” Pak usu pegang kepalanya sendiri, bengang dengan mak.
“Kita bukan mintak beras nasi kat orang yong.
Pedulikan depa bercakap, yang
menanggung susah senang ni kita. Bertahun-tahun dia tunggu, bertahun-tahun dia
bertahan. Sampai bila yong, tak cukup
ikhlas lagi ke?” Siapa yang pak usu
maksudkan?, mak ada skandal dengan siapa pula?. Kenapa aku tidak tahu?
Tiba-tiba hati aku berdebar kencang!.
“Hello Jai, hang tahu tak umuq yong dengan dia beza sampai tujuh
tahun. Time yong diperanakkan dia masih lagi di loh mahfuz. Hang ni biaq sungguh! Kalau hang ni pun berkenan
pompuan tua, kompom yong tak bagi! Keputusan hakim adalah muktamad, sebarang
surat menyurat tidak akan dilayan!”
Pak usu menghela
nafas sedalam-dalamnya dan melepaskannya dengan deras.
“Kalau yong tak menikah, sampai tualah kami
pun tak menikah.” Pak usu tiba-tiba menetapkan keputusannya.
“Pasaipa
hang tak mau menikah, nikah tu sunah rasul. Hang
nak ‘esok’ mati, hang last sekali
kena hisab?”
Pak usu mengeleng-ngelengkan kepala melihat
gelagat mak, sejurus kemudian dia keluar lalu menghidupkan motorsikal Kipsnya.
Tidak lama kemudian, bunyi kenderaannya kedengaran semakin menjauh.
AKU
tidak faham topik perbualan yang menyebabkan pak usu berselisih faham dengan
mak. Muka mak masam dan tidak lama kemudian aku mula mendengar kelentang
kelentung mak ‘bertukang’ di dapur. Perang saudara berlaku lagi setelah sekian
lama gencatan senjata bertahan. Kalau mak marah dia akan berdiam dan terus
menerus melakukan kerja-kerja rumah sampai dia penat. Mujurlah malam, kalau
siang mak akan menyapu halaman rumah sampai benar-benar bersih atau menebas
kebun di belakang rumah. Aku malas hendak menyaksikan perang saudara yang
pastinya akan reda sebaik sahaja pak usu pulang kelak. Ini bukanlah kali
pertama, carik-carik bulu ayam, kelak akan bercantum jua.
MAK tenang
merenung aku yang hendak pulang ke kolej. Aku tahu mak sebak setiap kali
melepaskan aku pergi, sudah hampir tamat pengajian, beginilah gelagat mak
apabila masa cuti semester aku berakhir. Aku juga sedih meninggalkan mak
sendirian, sebenarnya dengan pak usu. Tetapi aku kenal sangat pak usu, dia
bukan selalu ada di rumah. Mak menghantar aku sehingga ke stesen ETS, dan
seperti biasa mak tidak banyak cakap kalau dia tidak tenteram. Kami duduk
sementara menunggu ETS menuju ke selatan sampai.
Tiba-tiba mata aku bagaikan ternampak
seseorang, bukan ternampak namun memang betul dia. Lelaki itu menghampiri kami
dengan tenang. Dia senyum, dan aku membalas senyuman itu. Mak tekun melayan
novelnya tanpa menoleh langsung kepada lelaki itu. Entah bila mak pegang novel
aku pun tidak pasti kerana tadi aku tidak nampak pula novel tersebut.
Uncle
Farief duduk di sebelah mak. Berderau darah ku, lain macam pula rasanya. Mak
berinjak sedikit menjauh. Uncle
Farief ambil novel dari tangan mak, phergh!
Lafazkan kalimah cinta mu~ Siti Rosmizah.
Baru aku perasan tajuk novel itu memang tak boleh blah, sudahlah tebalnya setaraf bantal! Aku telan air liur
bertalu-talu melihat ‘keberanian’ uncle
Farief terhadap mak. Maknanya mak dengan uncle
Farief memang kenal sebelum ini? Kenapa aku tidak tahu?
“Tiket pukul berapa?”
“3.40”
“Awal lagi ni, kita minum dulu.” Aku pandang
wajah mak, mengharap sangat mak akan menganggukkan kepala. Tetapi mak buat
‘bodoh’ sahaja berpura-pura memanjang-manjangkan leher melihat sekeliling. Aku
bagi isyarat agar mak bersetuju, namun mak terus buat-buat tidak faham.
Uncle
Farief menghela nafas panjang, ada mata-mata yang mula memandang ke arah kami.
Aku tidak selesa, uncle Farief hanya
mendiamkan diri dan memain-mainkan kunci keretanya.
“Kita minum jom.” Tiba-tiba aku rasa nada
suara uncle Farief jadi pelik tatkala
mengajak mak minum. Aku pula diserbu rasa pelik dan perlahan-lahan rasa itu
meresap jauh ke dasar hati ku. Aku tidak suka dengan cara uncle Farief bercakap dengan mak dan aku juga tidak suka bila mak
menjadi terlalu ‘dingin’ dengan uncle Farief.
Namun aku lebih benci melihat cara uncle
Farief memandang mak. Ia buat aku rasa bagaikan kena tikam dengan pedang
samurai kudung!
MAK mengalah,
kami masuk ke kereta uncle Farief.
Aku rasa gembira sangat dan kegembiraan itu berganda bila mak memilih tempat
duduk belakang, jadi aku akan duduk di sebelah uncle Farief, takkan kami hendak ‘mendriver’kan dia pulakan?
Kami
singgah untuk minum petang di sebuah kedai makan yang terbuka. Tidak sangka
pula hari ini agak ramai pula pelanggan dan aku tahu mak tidak selesa dengan
keadaan ini. Uncle memesan mi rebus
dan aku juga memilih menu makanan yang sama. Namun mak hanya memesan minuman
sahaja.
Mak kelihatan gelisah apabila pesanan kami
agak lewat sampai. Aku melihat uncle Farief
bersahaja makan dengan berselera. Entah kerana tekak aku yang tidak cerewet
atau kerana makan bersama uncle Farief
yang kacak ini menyebabkan segala-galanya terasa begitu enak. Uncle Farief duduk berhadapan dengan
mak, sedangkan aku duduk bersebelahan dengannya.
Sejak mengenali uncle Farief, aku mulai terasa diriku diserang oleh penyakit
‘kurap-kurap cinta’, makin digaru semakin sedap terasa.
AKU
bukanlah boleh digolongkan dalam kelompok perempuan miang, namun berada
bersebelahan dengan uncle Farief
membuatkan aku rasakan kehidupan aku begitu indah. Biarpun dia berusia hampir
12 tahun lebih tua dari ku, namun penampilannya langsung tidak menampakkan
jarak usia yang ketara antara kami. Tambahan pula aku memang suka lelaki matang
dan kacak sepertinya.
Plop!
Meja kami dilanggar dengan agak kuat oleh tukang bawa air yang kelihatan kelam
kabut menghantar air minuman yang dipesan oleh pelanggan.
“Auww...!
mak menjerit kecil. Teh panas tertumpah di tangannya! Mak terus bangun, uncle Farief juga bangun. Tukang bawa
air itu panik melihat tangan mak merah terkena air panas. Tanpa memohon maaf
dia terus melarikan diri ke ruang dapur. Sungguh kurang ajar! Uncle Farief terus memanggil pelayan
yang mengambil pesanan dan aku nampak wajahnya ‘ketat’.
“Sudahlah tu, sikit je ni.” Mak cuba
menenangkan uncle Farief.
“Bukan soal banyak sikit, tapi sikap.”
“Ini bukan balai, jangan nak malukan saya.”
halkum uncle Farief turun naik
tatkala melihat ketegasan mak. Dia menghela nafas panjang, lalu terus kembali
ke kereta dan mengambil sesuatu. Sejurus kemudian dia kembali semula.
“Sapu minyak.” Mak menyambut minyak gamat
dari tangan uncle Farief dan
menyapukan sedikit minyak ke tangannya. Aku menghela nafas panjang kelegaan.
MAK
melihat jam, tiba-tiba wajahnya berubah.
“Orked! Dah lewat!” Aku pula tengok jam pada handphone.
“Ya Allah!” Aku panik, masa tinggal sepuluh
minit sahaja sebelum ETS sampai, dan biasanya ETS akan sampai awal beberapa
minit. Uncle Farief segera memanggil pelayan untuk membayar makanan kami.
Memang sengal tahap kuda laut, tukang kira
sengaja melambat-lambatkan dirinya untuk sampai ke meja kami. Boleh pula dia
bergurau-gurau dan bertepuk tampar sesama mereka dan lambat-lambat pula datang
melenggang ke meja kami. Aku rasa terdesak bila masa semakin suntuk.
Uncle
Farief tenang memandu semula ke stesen, dan sebaik sahaja dia berhenti aku
segera menerpa keluar dari kereta menuju ke stesen ETS. Bagaikan sebuah filem
aksi, aku berlari selaju-lajunya melawan masa yang semakin mendesak.
Pengangkutan awam yang berwarna kuning itu begitu angkuh menghampiri hentian.
Aku pula sedang mengira saat-saat untuk sampai mendahului jentera mengangkut
yang sophisticated itu.
“Orked beg!”suara mak memecah gegendang
telinga ku! Aku segera menoleh namun segalanya telah terlewat, pintu ETS telah
pun tertutup rapat dan kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik ini sedang
merentas alam menuju ke destinasinya.
Aku ingin meraung semahu-mahunya. Bagaimana
harus aku berpatah semula untuk mengambil beg aku. Takkan aku kena pulang
sehelai sepinggang ke kolej dan bagaimana pula dengan tugasan-tugasan aku yang
akan memberikan tambahan carry mark
untuk peperiksaan kelak. Laptop aku! Ya laptop aku! bagaimana aku harus
menyiapkan assigment aku tanpa
laptop! Aku rasa bagaikan mahu melorotkan diri di dinding ETS ini, namun
perlahan-lahan aku melangkah juga menuju ke tempat duduk.
AKU
bukan prejudis. Namun aku cukup tidak senang dengan perhatian uncle Farief terhadap mak. Aku juga
sedar, berhadapan dengan uncle
Farief, mak menjadi tegas tidak bertempat. Hilang segala lawak gila-gilanya
seolah-olah dia cuba mencipta permusuhan pula dengan uncle Farief. Namun sekarang bukan masa untuk berjiwang-jiwang, beg
aku! Setitis... dua titis... air mata ku mengalir.
Tet! Aku melihat inbox. Mujurlah benda alah yang satu ini
tidak tertinggal.
‘Mak hantarkan beg ke kolej, terus je jangan singgah mana-mana.’ Aku hela nafas panjang sambil mengesat air
mata. Sanggup mak turun ke kolej semata-mata untuk menghantar beg ku. Aku hela
nafas panjang...
“Kesian mak...”
Uncle farief nk kt mak Orked.....arghhh sian orkeddd...huhuhu
ReplyDeletekesiannnnnnnnnn...hikhikhik, tq Mona Ismail
DeleteBuah hati yg didambakan xkn berubah walau 1 juta gadis cantik datang menghimpit
ReplyDeleteHaip...or ked jngn nk caras mak punyer bopren. ..cubit nnti
ReplyDeleteMak serba salah sebenarnya tu...
ReplyDeleteOrked dh kna penyakit kurap2 cinta dgn uncle farief ye.. Alaa.. x sbr nk tau abg hensem tu mk ke ank yg pnya.. cepat smbung ye.. :)
ReplyDelete