Saturday, September 27, 2014

Bukan hanya kita



Bab 4











               
         ORKED, nanti ambil kat mak slip saman tu bagi uncle selesaikan.” Uncle Farief cukup tegas, aku angguk kepala. Mak hanya berdiam, sikit pun mak tidak menyahut malah mak juga tidak menolak. Kami segera beredar sejurus kemudian.
   Mak memandu dengan kelajuan sederhana, tapi aku tahu ada perkara yang tidak menyenangkan hati mak. Kami singgah mengambil pak usu yang telah dibenarkan keluar dari hospital. Mak ceria berbual dengan pak usu, namun tidak dengan aku. Haila, apa agaknya kesalahan aku kali ini.
   “Kata kena saman, dah bayar ke belum?” Mak geleng kepala.
   “Mintak tolong Farieflah.”
   “Tak baik macam tu.” Mak masih tenang.
   “Tak pelah yong, bukan rezeki kita. Yong bayar saman tu, nanti acu cover belanja rumah.” Mak diam dan tenang memandu.
   “Orked dah bagi uncle Farief slip saman tu.” Aku menyampuk.
   “Kenapa panggil uncle, Farief tu kan muda lagi.” Pak usu menegur ku.
   “Dia yang suruh panggil uncle.” Aku mempertahankan diri. Pak usu jeling mak, lantas masing-masing berdiam.


MALAM itu suasana terasa ‘panas’, semua akan rasa panas bila mak berhenti bercakap. Aku hanya mampu bertukar pandangan dengan pak usu. Aku beredar kerana tidak ingin terlibat dengan konflik.
   “Bagilah dia peluang yong...” Suara pak usu kedengaran mendatar.
   “Kau ni dah kenapa dik, yong tak sukalah kau campur urusan peribadi yong.”
   “Bukan nak campur yong, Orked dah cukup dewasa, kami pun dah cukup ‘besar’. Sekarang yong pikir tentang yong pulak, dia ikhlas yong.”
   “Ikhlas pungkoq hang!” Mak sudah mula tinggi suara.
   “Kami tak nak yong sunyi bila kami menikah nanti. Kami pun tak nak yong tinggai sendiri bila Orked dah mula kerja di bandar atau diapun menikah. Sekurang-kurangnya yong ada kawan.” Pak usu menyedut rokoknya dalam-dalam lalu menghembusnya perlahan. Aku terus menelinga hendak tahu butir cerita.
   Hang nak yong menikah dengan budak baya hang. Biaq satu dunia mengutuk mengata.”
   “Ya Allah, kenapa cetek sangat fikiran kakak aku ni!” Pak usu pegang kepalanya sendiri, bengang dengan mak.
   “Kita bukan mintak beras nasi kat orang yong. Pedulikan depa bercakap, yang menanggung susah senang ni kita. Bertahun-tahun dia tunggu, bertahun-tahun dia bertahan.  Sampai bila yong, tak cukup ikhlas lagi ke?”  Siapa yang pak usu maksudkan?, mak ada skandal dengan siapa pula?. Kenapa aku tidak tahu? Tiba-tiba hati aku berdebar kencang!. 
   “Hello Jai, hang tahu tak umuq yong dengan dia beza sampai tujuh tahun. Time yong diperanakkan  dia masih lagi di loh mahfuz. Hang ni biaq sungguh! Kalau hang ni pun berkenan pompuan tua, kompom yong tak bagi! Keputusan hakim adalah muktamad, sebarang surat menyurat tidak akan dilayan!”
Pak usu menghela nafas sedalam-dalamnya dan melepaskannya dengan deras.
   “Kalau yong tak menikah, sampai tualah kami pun tak menikah.” Pak usu tiba-tiba menetapkan keputusannya.
   “Pasaipa hang tak mau menikah, nikah tu sunah rasul. Hang nak ‘esok’ mati, hang last sekali kena hisab?”
   Pak usu mengeleng-ngelengkan kepala melihat gelagat mak, sejurus kemudian dia keluar lalu menghidupkan motorsikal Kipsnya. Tidak lama kemudian, bunyi kenderaannya kedengaran semakin menjauh.


AKU tidak faham topik perbualan yang menyebabkan pak usu berselisih faham dengan mak. Muka mak masam dan tidak lama kemudian aku mula mendengar kelentang kelentung mak ‘bertukang’ di dapur. Perang saudara berlaku lagi setelah sekian lama gencatan senjata bertahan. Kalau mak marah dia akan berdiam dan terus menerus melakukan kerja-kerja rumah sampai dia penat. Mujurlah malam, kalau siang mak akan menyapu halaman rumah sampai benar-benar bersih atau menebas kebun di belakang rumah. Aku malas hendak menyaksikan perang saudara yang pastinya akan reda sebaik sahaja pak usu pulang kelak. Ini bukanlah kali pertama, carik-carik bulu ayam, kelak akan bercantum jua.


MAK tenang merenung aku yang hendak pulang ke kolej. Aku tahu mak sebak setiap kali melepaskan aku pergi, sudah hampir tamat pengajian, beginilah gelagat mak apabila masa cuti semester aku berakhir. Aku juga sedih meninggalkan mak sendirian, sebenarnya dengan pak usu. Tetapi aku kenal sangat pak usu, dia bukan selalu ada di rumah. Mak menghantar aku sehingga ke stesen ETS, dan seperti biasa mak tidak banyak cakap kalau dia tidak tenteram. Kami duduk sementara menunggu ETS menuju ke selatan sampai.
   Tiba-tiba mata aku bagaikan ternampak seseorang, bukan ternampak namun memang betul dia. Lelaki itu menghampiri kami dengan tenang. Dia senyum, dan aku membalas senyuman itu. Mak tekun melayan novelnya tanpa menoleh langsung kepada lelaki itu. Entah bila mak pegang novel aku pun tidak pasti kerana tadi aku tidak nampak pula novel tersebut.
   Uncle Farief duduk di sebelah mak. Berderau darah ku, lain macam pula rasanya. Mak berinjak sedikit menjauh. Uncle Farief ambil novel dari tangan mak, phergh! Lafazkan kalimah cinta mu~ Siti Rosmizah.  Baru aku perasan tajuk novel itu memang tak boleh blah, sudahlah tebalnya setaraf bantal! Aku telan air liur bertalu-talu melihat ‘keberanian’ uncle Farief terhadap mak. Maknanya mak dengan uncle Farief memang kenal sebelum ini? Kenapa aku tidak tahu?
   “Tiket pukul berapa?”
   “3.40”  
   “Awal lagi ni, kita minum dulu.” Aku pandang wajah mak, mengharap sangat mak akan menganggukkan kepala. Tetapi mak buat ‘bodoh’ sahaja berpura-pura memanjang-manjangkan leher melihat sekeliling. Aku bagi isyarat agar mak bersetuju, namun mak terus buat-buat tidak faham.
   Uncle Farief menghela nafas panjang, ada mata-mata yang mula memandang ke arah kami. Aku tidak selesa, uncle Farief hanya mendiamkan diri dan memain-mainkan kunci keretanya.
   “Kita minum jom.” Tiba-tiba aku rasa nada suara uncle Farief jadi pelik tatkala mengajak mak minum. Aku pula diserbu rasa pelik dan perlahan-lahan rasa itu meresap jauh ke dasar hati ku. Aku tidak suka dengan cara uncle Farief bercakap dengan mak dan aku juga tidak suka bila mak menjadi terlalu ‘dingin’ dengan uncle Farief. Namun aku lebih benci melihat cara uncle Farief memandang mak. Ia buat aku rasa bagaikan kena tikam dengan pedang samurai kudung!



MAK mengalah, kami masuk ke kereta uncle Farief. Aku rasa gembira sangat dan kegembiraan itu berganda bila mak memilih tempat duduk belakang, jadi aku akan duduk di sebelah uncle Farief, takkan kami hendak ‘mendriver’kan dia pulakan?
                Kami singgah untuk minum petang di sebuah kedai makan yang terbuka. Tidak sangka pula hari ini agak ramai pula pelanggan dan aku tahu mak tidak selesa dengan keadaan ini. Uncle memesan mi rebus dan aku juga memilih menu makanan yang sama. Namun mak hanya memesan minuman sahaja.
   Mak kelihatan gelisah apabila pesanan kami agak lewat sampai. Aku melihat uncle Farief bersahaja makan dengan berselera. Entah kerana tekak aku yang tidak cerewet atau kerana makan bersama uncle Farief yang kacak ini menyebabkan segala-galanya terasa begitu enak. Uncle Farief duduk berhadapan dengan mak, sedangkan aku duduk bersebelahan dengannya.
   Sejak mengenali uncle Farief, aku mulai terasa diriku diserang oleh penyakit ‘kurap-kurap cinta’, makin digaru semakin sedap terasa.


AKU bukanlah boleh digolongkan dalam kelompok perempuan miang, namun berada bersebelahan dengan uncle Farief membuatkan aku rasakan kehidupan aku begitu indah. Biarpun dia berusia hampir 12 tahun lebih tua dari ku, namun penampilannya langsung tidak menampakkan jarak usia yang ketara antara kami. Tambahan pula aku memang suka lelaki matang dan kacak sepertinya.
   Plop! Meja kami dilanggar dengan agak kuat oleh tukang bawa air yang kelihatan kelam kabut menghantar air minuman yang dipesan oleh pelanggan.
   “Auww...! mak menjerit kecil. Teh panas tertumpah di tangannya! Mak terus bangun, uncle Farief juga bangun. Tukang bawa air itu panik melihat tangan mak merah terkena air panas. Tanpa memohon maaf dia terus melarikan diri ke ruang dapur. Sungguh kurang ajar! Uncle Farief terus memanggil pelayan yang mengambil pesanan dan aku nampak wajahnya ‘ketat’.
   “Sudahlah tu, sikit je ni.” Mak cuba menenangkan uncle Farief.
   “Bukan soal banyak sikit, tapi sikap.”
   “Ini bukan balai, jangan nak malukan saya.” halkum uncle Farief turun naik tatkala melihat ketegasan mak. Dia menghela nafas panjang, lalu terus kembali ke kereta dan mengambil sesuatu. Sejurus kemudian dia kembali semula.
   “Sapu minyak.” Mak menyambut minyak gamat dari tangan uncle Farief dan menyapukan sedikit minyak ke tangannya. Aku menghela nafas panjang kelegaan.


MAK melihat jam, tiba-tiba wajahnya berubah.
   “Orked! Dah lewat!” Aku pula tengok jam pada handphone.
   “Ya Allah!” Aku panik, masa tinggal sepuluh minit sahaja sebelum ETS sampai, dan biasanya ETS akan sampai awal beberapa minit. Uncle Farief segera memanggil pelayan untuk membayar makanan kami.
   Memang sengal tahap kuda laut, tukang kira sengaja melambat-lambatkan dirinya untuk sampai ke meja kami. Boleh pula dia bergurau-gurau dan bertepuk tampar sesama mereka dan lambat-lambat pula datang melenggang ke meja kami. Aku rasa terdesak bila masa semakin suntuk.
   Uncle Farief tenang memandu semula ke stesen, dan sebaik sahaja dia berhenti aku segera menerpa keluar dari kereta menuju ke stesen ETS. Bagaikan sebuah filem aksi, aku berlari selaju-lajunya melawan masa yang semakin mendesak. Pengangkutan awam yang berwarna kuning itu begitu angkuh menghampiri hentian. Aku pula sedang mengira saat-saat untuk sampai mendahului jentera mengangkut yang sophisticated itu.
   “Orked beg!”suara mak memecah gegendang telinga ku! Aku segera menoleh namun segalanya telah terlewat, pintu ETS telah pun tertutup rapat dan kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik ini sedang merentas alam menuju ke destinasinya.
   Aku ingin meraung semahu-mahunya. Bagaimana harus aku berpatah semula untuk mengambil beg aku. Takkan aku kena pulang sehelai sepinggang ke kolej dan bagaimana pula dengan tugasan-tugasan aku yang akan memberikan tambahan carry mark untuk peperiksaan kelak. Laptop aku! Ya laptop aku! bagaimana aku harus menyiapkan assigment aku tanpa laptop! Aku rasa bagaikan mahu melorotkan diri di dinding ETS ini, namun perlahan-lahan aku melangkah juga menuju ke tempat duduk.


AKU bukan prejudis. Namun aku cukup tidak senang dengan perhatian uncle Farief terhadap mak. Aku juga sedar, berhadapan dengan uncle Farief, mak menjadi tegas tidak bertempat. Hilang segala lawak gila-gilanya seolah-olah dia cuba mencipta permusuhan pula dengan uncle Farief. Namun sekarang bukan masa untuk berjiwang-jiwang, beg aku! Setitis... dua titis... air mata ku mengalir.
Tet! Aku melihat inbox. Mujurlah benda alah yang satu ini tidak tertinggal.
   ‘Mak hantarkan beg ke kolej, terus je jangan singgah mana-mana.’  Aku hela nafas panjang sambil mengesat air mata. Sanggup mak turun ke kolej semata-mata untuk menghantar beg ku. Aku hela nafas panjang...
   “Kesian mak...”  

6 comments:

  1. Uncle farief nk kt mak Orked.....arghhh sian orkeddd...huhuhu

    ReplyDelete
  2. Buah hati yg didambakan xkn berubah walau 1 juta gadis cantik datang menghimpit

    ReplyDelete
  3. Haip...or ked jngn nk caras mak punyer bopren. ..cubit nnti

    ReplyDelete
  4. Orked dh kna penyakit kurap2 cinta dgn uncle farief ye.. Alaa.. x sbr nk tau abg hensem tu mk ke ank yg pnya.. cepat smbung ye.. :)

    ReplyDelete